fbpx

Kes dera lapor Talian Kasih, bukan buat ‘content’ di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANCY Shukri (baris belakang, enam dari kiri) pada Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, Seremban di sini hari ini.

SEREMBAN -Masyarakat termasuk mangsa penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak perlu melaporkan kes menerusi Talian Kasih 15999 dan bukannya menjadikan ia sebagai ‘content’ di media sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sekiranya berlaku apa-apa yang mencurigakan yang mana mangsa didera oleh ibu bapa atau ahli keluarga di dalam rumah, dapatkan pertolongan segera dengan menghubungi Talian Kasih 15999 atau melalui Whatsapp 019-2615999 serta dapatkan pertolongan jiran.

“Adalah penting untuk kita tahu apa tindakan yang perlu diambil sekiranya kanak-kanak terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian.

“Semua pihak, sebagai individu ataupun secara komuniti, perlu bersama-sama cakna terhadap hak kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim.

Nancy berkata, pertama sekali adalah penting untuk menghubungi Talian Kasih 15999 supaya siasatan terus dan segera dapat dilakukan.

“Kedua, janganlah sekadar membuat video di media sosial sahaja untuk dijadikan content, laporkan kes tersebut kepada pihak kami,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy memberitahu, Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak berkenaan adalah antara usaha berterusan pihak kementerian dalam menggerakkan semua anggota masyarakat agar bersama melindungi dan membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak.

Menurut beliau, program itu menjadi platform kepada masyarakat setempat khususnya guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat untuk berperanan dalam membantu mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

“Program ini telah diadakan di beberapa sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Melaka, Sabah dan Sarawak. Tahun ini, kami berhasrat untuk menjalankan program ini ke 300 buah sekolah di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu, sejumlah 7,520 orang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di seluruh negara dengan 405 orang daripadanya di Negeri Sembilan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI