fbpx

Tragedi helikopter TLDM: 10 jasad dibawa ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelihatan ambulans bersedia untuk membawa jasad ke hospital selepas dikeluarkan oleh anggota penyelamat.

LUMUT – Semua 10 jasad mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pagi tadi telah dikeluarkan dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata semua jenazah mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut di sini.

“Jenazah itu akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Sukan TLDM Lumut hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa adalah pegawai dan anggota TLDM yang berpangkalan di Lumut dan Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau menjelaskan kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mereka melakukan latihan penerbangan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulangtahun TLDM Ke-90.

Menurutnya, ia melibatkan helikopter operasi Maritim (HOM) jenis AW139 berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan Fennec M502-6 dari sini.

Jelas beliau, sebuah helikopter terhempas di Stadium TLDM Lumut manakala sebuah lagi terhempas di kawasan kolam renang di sini.

Menurut beliau, pasukan polis, TLDM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Maklumnya lagi, ahli keluarga semua mangsa telah dimaklumkan oleh pihak TLDM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI