DEMI kekal relevan dalam industri muzik, penyanyi yang terkenal dengan genre muzik jazz, R&B dan soul, Noryn Aziz mencabar diri keluar dari zon selesanya apabila muncul dengan single baharu, Kertas.
Lagu ciptaan komposer dan penyanyi, Amylea Azizan tersebut merupakan karya pop balada Melayu pertama Noryn sepanjang hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik.
Noryn atau nama lengkapnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 48, mengakui mulanya berasa bimbang atas perubahan yang dilakukan, namun akhirnya bersyukur apabila lagu Kertas yang menjadi runut bunyi drama fenomena, Khunsa diterima baik khalayak.
“Akhirnya selepas sekian lama dalam industri muzik orang sedar kehadiran saya menerusi lagu Kertas. Saya bersyukur apabila Amylea dan pengarah drama Khunsa, Shahrulezad memilih saya sebagai penyanyi lagu runut bunyi.

“Walaupun sudah lama dalam industri, saya tidak sangka orang ramai boleh menerima baik saya menyanyikan lagu pop balada. Ramai yang terkejut mendengar vokal saya yang berbeza dalam lagu Kertas.
“Apa pun saya bersyukur kerana selama 28 tahun dalam industri barulah sekarang saya merasai perhatian secara meluas,” ujar Noryn menerusi temu bual bersama HibGlam baru-baru ini.
Mula berkecimpung dalam industri muzik menerusi kumpulan Sister-Sister pada 1996, Noryn kini mahu mencipta kelainan dan memberi warna dalam industri muzik tempatan yang rata-rata dimonopoli genre pop dan balada.
Atas alasan tersebut, dia memilih untuk membawa genre jazz, R&B dan soul meskipun sedar pasaran untuk muzik tersebut tidak begitu luas di Malaysia.
“Saya memang ingin cuba lari buat muzik yang sudah biasa didengar di Malaysia, tetapi halwa telinga peminat muzik tempatan menyukai lagu pop dan balada yang menyusuk jiwa.
“Saya mengaku saya degil dan setia dengan muzik jazz (ketawa), akhirnya saya mengalah untuk cuba sesuatu yang berbeza dan memberi ruang untuk diri terjun ke pasaran yang baharu.
“Percubaan saya menjadi meskipun pada mulanya ramai menyangka lagu Kertas dinyanyikan penyanyi lain,” kongsi Noryn lagi.

Impian AJL
Ibarat kelahiran semula, menerusi lagu Kertas, Noryn bukan sahaja membuka mata banyak pihak akan bakatnya tetapi juga berjaya menarik ramai peminat baharu.
Bahkan Noryn juga mengambil inisiatif untuk mempelajari pelbagai ilmu digital selain aktif dalam media sosial untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi baharu.
“Peminat lagu jazz memang mengenali saya tetapi kelompoknya agak kecil, apabila saya muncul dengan lagu pop balada ramai peminat baharu termasuk golongan muda yang mula mengikuti saya di laman sosial.
“Kebanyakan mereka mungkin pernah lihat Noryn Aziz, tetapi tidak mengenali muzik saya. Saya juga sedar ‘game’ dan bisnes muzik hari ini sangat berbeza.
“Mahu atau tidak saya terpaksa belajar ilmu baharu termasuk aktif dalam laman sosial supaya kekal relevan dan bersaing secara sihat dengan penyanyi muda yang bagi saya sangat agresif,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) itu lagi.
Sambung Noryn, lagu Kertas yang mempunyai susunan muzik cukup dramatik juga diharap dapat melunaskan impiannya untuk bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Noryn yang juga seorang guru vokal dan juri AJL38 menjelaskan, selama bergelar penyanyi dia tidak pernah menjejakkan kaki di pentas berprestij itu.
“Saya doakan untuk Amylea agar lagu Kertas dapat masuk ke AJL. Tetapi saya sedar bahawa itu melibatkan undian juga jadi saya berserah kepada rezeki.
“Bagi saya bersaing di pentas besar seperti AJL ibarat impian menjadi nyata kerana dalam begitu banyak anugerah untuk penyanyi tidak banyak yang bertahan lama sehingga ke hari ini.
“AJL adalah satu platform yang bagus untuk penyanyi dan sudah tentu saya mahu berada di atas pentas berprestij itu meskipun hanya sekali,” luah Noryn.

Karier
Sementara nama Noryn masih panas dan diterima baik oleh khalayak, dia sedar bahawa ini adalah peluang terbaiknya untuk mengeluarkan buah tangan yang baharu.
Selepas Kertas, Noryn bakal muncul dengan sebuah single pop R&B yang mesra dengan halwa telinga peminat muzik tempatan.
“Saya sedar ini masa yang sesuai, jadi saya harus segera tampil dengan lagu yang baharu selepas promosi Kertas dan fenomena drama Khunsa tamat.
“Sekarang saya masih dalam proses mencari lagu yang sesuai tetapi strateginya sudah ada. Saya akan berduet dengan sebuah kumpulan vokal lelaki.
“Insya-Allah lagu yang akan datang ini juga sesuatu yang sangat berbeza daripada Noryn Aziz. Walau lagunya adalah pop, saya akan tetap selitkan identiti sebagai penyanyi jazz,” kata Noryn.
Bukan mengalah atau berputus asa dengan muzik jazz, R&B dan soul yang merupakan jiwanya, tetapi Noryn kini sedar bahawa dia perlu berkompromi untuk terus kekal relevan dalam industri muzik.
“Saya masih seorang penyanyi jazz dan saya tidak boleh lari daripada elemen jazz kerana itu identiti saya.
“Cuma untuk lagu baharu, meskipun pop dan ada elemen jazz saya akan pastikan muzik jazz tidak terlalu ekstrem seperti dalam lagu-lagu saya sebelum ini.
“Supaya muzik saya boleh terima oleh semua pendengar tidak kira peminat jazz atau bukan,” kata Noryn yang pernah melahirkan album Fantasi O Realiti, Alam Maya dan I’m Alright.
Luah pelantun lagu Kau itu, sebagai penyanyi yang tidak bernaung di bawah mana-mana label, dia harus mengeluarkan bajet sendiri untuk mengeluarkan single baharu.
“Menghasilkan sebuah single pada hari ini tidak murah kerana kosnya ibarat menghasilkan sebuah album mini.
“Jadi, saya harus mempunyai strategi yang konkrit untuk kekal bertahan dalam industri muzik. Apapun saya berterima kasih atas sokongan yang diterima selama ini,” tutur Noryn menutup bicara.















