KEINDAHAN pemandangan landskap semula jadi adalah apa yang menjadikan Iran antara negara pilihan untuk dilawati.
Tatkala berkunjung ke negara antara tertua di dunia itu, pengunjung akan terpukau melihat gunung-gunungnya yang diliputi salju, kehijauan alam, padang pasir terbentang luas dan juga lautan membiru.
Isu yang tercetus antara Iran dengan Israel baru-baru ini menjadikan ramai yang tertarik untuk lebih mengetahui tentang Iran atau dikenali juga sebagai Parsi.
Warga Perancis yang pernah berkunjung ke Iran pada 2017, Marie Cabri menceritakan pengalamannya berkunjung ke sana dan mengakui amat menyukai budaya Iran.
“Saya melawat Iran pada musim panas 2017. Penduduk Iran cukup ramah dan amat menghormati antara satu sama lain. Makanan-makanan tradisinya juga cukup enak.
“Penduduk Iran juga suka menari, menyanyi dan membacakan puisi indah kepada satu sama lain. Bagi saya, ia sebuah negara romantis yang mana penduduknya amat menyukai dan menghargai seni, kecantikan, mawar dan juga puisi,” kongsinya dalam satu laman web.
Cabri menambah, dia juga amat mengagumi kecantikan negara itu dan tidak mengerti mengapa negara dengan pemandangan indah sebegitu seolah-olah disembunyikan dari dunia.

Wanita Finland, Kaisu Raasakka yang pernah tinggal di Iran selama empat tahun pula berkongsi saat pertama kali tiba di Iran, dia agak was-was tentang negara tersebut memandangkan dia hanya mendengar khabar buruk tentang negara di Asia Barat itu.
“Begitu pun, selepas berjumpa dengan penduduknya daripada penduduk biasa sehinggalah anggota tenteranya, mereka semua adalah orang yang baik dan peramah.
“Iran merupakan sebuah negara besar yang dipenuhi dengan pemandangan memukau daripada gunung-gunungnya sehinggalah kawasan pantai yang cantik.
“Sebahagian besar daripada negara itu adalah kering, namun saya melihatnya sebagai sebuah negara eksotik,” katanya.
Iran merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Barat yang berusia hampir 6,000 tahun. Iran atau juga dikenali sebagai Parsi menggunakan bahasa Parsi sebagai bahasa rasminya.
Negara itu terletak di persekitaran Eurasia, sekali gus menjadikan Iran cukup penting dalam tamadun dunia kerana kedudukan geografinya yang strategik. Ia merupakan salah satu kuasa besar dan tamadun lama yang mempunyai sejarah panjang.
Daripada tulisan-tulisan sejarah berkenaan Iran, sejarah awal Iran meliputi negaranya dan juga negara-negara jirannya yang miliki persamaan dalam kebudayaan dan bahasa Parsi.
Ketika itu, negara-negara ini diperintah oleh empayar-empayar Parsi seperti Medes (728 Sebelum Masihi) dan Achaemenid (550 Sebelum Masihi).
Sassanid (224 Selepas Masihi) merupakan empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Parsi kemudiannya bergabung menjadi sebahagian daripada empayar Islam awal di dunia.
Ketika berbicara tentang Iran, apa yang lazimnya terlintas di fikiran kita adalah Iran sebuah negara Syiah. Islam Syiah merupakan cabang Islam kedua terbesar di dunia dan dikatakan lebih 80 peratus penduduk Iran adalah Syiah.
Biarpun Syiah sudah lama menapak di Iran ketika zaman awal perkembangan Islam, kebanyakan penduduknya pada mulanya adalah Sunni sehingga pertengahan abad ke-17 yang mana majoriti penduduk Iran sudah pun menjadi Muslim Syiah.

Revolusi Islam di Iran bermula selepas kekalahan Sassanid ke tangan tentera Islam di mana Parsi kemudian diperintah oleh khalifah Umayyah dan Abbasiyah.
Ketika pemerintahan Abbasiyah, orang-orang Parsi memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kegemilangan Islam. Diceritakan, bumi Parsi tidak putus-putus melahirkan ilmuwan dan cendekiawan Islam sama ada ilmuwan falsafah mahupun ilmuwan Islam berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang akhirnya berjaya menjadikan umat Islam umat yang terkemuka di atas muka bumi ini.
Tokoh terkenal seperti Imam Abu Daud, Imam Abu Hanifah, Imam al-Bukhari, Imam al-Ghazali, Imam al-Maturidi, Imam al-Nasai, Imam at-Tirmidzi, Imam at-Tabrani, Imam al-Thalabi, Ibnu Sina, Jabir Ibnu Hayyan, al-Biruni, Ibnu Qutaibah, al-Farabi, al-Khawarizmi dan Fakhruddin ar-Razi dikatakan dari bumi atau bangsa Parsi.
Selepas pemerintahan Abbasiyah, Parsi mula mencapai kemerdekaan mereka dengan mendirikan sebuah dinasti dimulai dengan Dinasti Tahiriyah dan disusuli dengan Saffariyah, Ziyariyah dan Samaniyah.
Revolusi Iran 1979 merupakan antara tiga revolusi rakyat yang penting dalam sejarah dunia moden. Kesan Revolusi Iran cukup besar. Semangat revolusi itu bahkan sampai kepada umat Islam di seluruh dunia.
Iran merupakan negara ke-17 terbesar di dunia dengan populasi penduduk seramai 89.81 juta orang.
Ia dianggarkan mempunyai keluasan 1,648,000 kilometer persegi, manakala jaringan jalan rayanya pula adalah antara yang terbaik di dunia dengan menghubungkan bandar-bandar utama dan kawasan-kawasan luar bandar.
Iran merupakan negara berpendapatan sederhana rendah. Sumber ekonominya terdiri daripada ekonomi campuran. Iran kekal amat bergantung kepada satu industri utamanya iaitu petroleum dan gas asli untuk tujuan eksport.
Menurut pakar, Iran adalah satu kuasa besar di rantau Asia Barat.
Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Azizuddin Mohd. Sani berkata, negara itu mempunyai 610,000 tentera dan 350,000 tentera simpanan selain dikatakan negara ke 14 terkuat di dunia dari segi kemampuan ketenteraan.
“Bahkan, Iran juga mampu membina teknologi ketenteraannya sendiri dan mempunyai teknologi dron yang juga dipakai ketika Perang di Ukraine.
“Iran miliki peluru berpandu balistik yang terbanyak di Asia Barat dan ada peluru berpandunya boleh menjangkau sejauh 2,000 kilometer jarak sasaran.
“Malah, ada yang mengatakan bahawa Iran juga mempunyai teknologi nuklear yang mampu dijadikan senjata pemusnah,” ujarnya.
Berdasarkan World Nuclear Association, Iran kini mempunyai sebuah reaktor nuklear yang beroperasi. Program nuklear negara itu telah dimulakan sejak tahun 1950-an lagi yang dibuat di bawah program United States (US) Atoms for Peace.
Azizuddin menambah, secara umumnya, Iran digeruni di Asia Barat dan dengan kerjasama erat Russia dan China, agak sukar negara kuasa besar dunia lain menggugat Iran.
Lapor akhbar The Sun, Iran berada di belakang Israel dari segi bajet pertahanan, namun negara itu mendahului Israel dari segi bilangan tentera yang aktif.
Dari segi kekuatan dan kemampuan kereta kebal pula, Iran mempunyai kekuatan hampir dua kali ganda berbanding Israel.
Strategi ketenteraan Iran adalah mengimbangi peralatan lama dengan saiz kekuatan yang lebih besar dan memfokuskan kepada teknologi peluru berpandu, termasuk peluru berpandu balistik yang mampu mencapai pelbagai sasaran serantau.
Iran juga memanfaatkan taktik peperangan asimetri, termasuk penggunaan kuasa proksi di seluruh Asia Barat dan mempunyai tumpuan penting untuk mengembangkan keupayaan dron dan sibernya.














