fbpx

Aidilfitri: 871 kes jenayah penipuan, kerugian RM37.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (tengah) berucap pada sidang akhbar menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 871 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan pada musim perayaan dengan nilai kerugian mencecah RM37.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh bermula 1 hingga 14 April lalu.

“Daripada 871 kes yang dicatatkan, jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi dengan 342 kes, diikuti jenayah e-dagang dengan 217 kes.

“Lain-lain kes adalah pelaburan tidak wujud (157 kes), pinjaman tidak wujud (112 kes), jenayah e-kewangan (29 kes) dan love scam (14 kes),” katanya pada sidang akhbar di menara KPJ, di sini, hari ini.

Tambah Ramli, jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 1,465 kes dan nilai kerugian RM56.7 juta.

Jelasnya, sambutan perayaan dilihat tidak memberikan pengaruh yang signifikan terhadap peningkatan kadar jenayah dalam talian.

“JSJK tidak menolak kemungkinan bahawa tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan masyarakat bagi aspek pencegahan jenayah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli memaklumkan bagi tahun ini sehingga 14 April, JSJK merekodkan 8,913 kes jenayah komersial melibatkan nilai kerugian RM835 juta.

“Berbanding tempoh sama tahun lalu, sejumlah 10,010 kes dan nilai kerugian RM504 juta.

“Kes bagi tahun ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus, namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar iaitu 66 peratus,” ujarnya.

Menurut beliau, daripada aspek pertuduhan, sejumlah 4,541 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh terbabit.

“Jumlah ini adalah bersamaan 51 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini.

“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 4,331 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI