fbpx
WANI KAYRIE

Wani Kayrie ‘berhabis berangkut’ balik Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali menjelang sambutan hari kebesaran, paling utama hari raya, perasaan anak perantauan pasti digamit kerinduan sehingga tidak senang duduk menghitung hari untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta.

Situasi sama dirasai penyanyi, Wani Kayrie yang teruja setiap kali menyambut Aildilfitri apatah lagi desa dirindui nun jauh di Negeri Di Bawah Bayu.

Gigih menyimpan wang untuk membeli tiket penerbangan yang harganya bukan seringgit dua, penyanyi berusia 25 tahun itu bekerja keras sebelum Ramadan menjelma lagi agar segalanya mencukupi.

Sudah dianggap seperti tanggungjawab, pemilik nama penuh Syazwani Abdullah itu mengakui harus berbelanja lebih untuk tiket penerbangan ke Sandakan, Sabah bagi menyambut hari raya tahun ini.

ENGGAN berebut dan bimbang tiket kapal terbang habis, Wani membuat tempahan tiket balik raya setahun lebih awal.

Tiket mahal

Bukan sahaja tiket untuk dirinya, dia juga harus menunaikan tanggungjawab melancarkan penerbangan ibu bapa dan beberapa ahli keluarga terdekat.

Wanita bermata sepet itu juga tiada masalah berkongsi rezeki bersama keluarga asalkan mereka gembira dapat pulang beraya.

“Semua orang tahu, tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak bukan murah, apatah lagi di musim perayaan, boleh jadi sekali ganda mahal daripada harga biasa.

“Macam saya, habis dalam beribu-ribu jugalah untuk tiket sahaja sebab bawa balik ahli keluarga terus ke Sandakan.

“Tapi tidak mengapalah, untuk raya ini kena berbelanja lebih sikit, bukannya selalu pun, terutama bagi saya yang hanya balik setahun sekali,” katanya kepada HibGlam.

Lazimnya, pelantun lagu Fajar itu awal-awal lagi sudah membeli tiket. Bukan sahaja disebabkan harga melambung bahkan, jumlah yang terhad.

“Saya memang beli awal tiket, bukan kejar harga murah tetapi takut habis. Harga tiket memang mahal. Tapi saya dah tempah dari tahun lepas.

“Alhamdulillah, semakin saya memberi, rezeki akan mencurah-curah.

MEMBELANJAKAN wang beribu ringgit hanya untuk tiket penerbangan ahli keluarga pulang ke Sabah, Wani bersyukur dapat berkongsi rezeki pulang beraya bersama dengan sanak saudara di Sabah. – SYAKIR RADIN/ IHSAN ROCKETFUEL ENTERTAINMENT

Simpati

“Lagi pun memang seronok naik kapal terbang beramai-ramai ditambah momen kelakar masing-masing menjadi kenangan terindah, tak kering gusi dibuatnya,” katanya tersenyum lebar.

Dalam keseronokan berhari raya bersama keluarga, Wani turut menzahirkan simpati terhadap individu yang tidak berkemampuan balik kampung.

“Saya simpati sebab pernah berada dalam situasi mereka. Itu yang membuatkan saya tekad untuk balas jasa ibu dengan cara bawa dia pulang ke tanah tumpah darah setiap kali tiba hari istimewa.

BERBEZA dengan Kuala Lumpur, Wani meraikan Aidilfitri di Sabah dengan menaiki trak bersama keluarga mengelilingi kampung.

“Melihat orang lain yang tak dapat pulang, saya yakin mungkin akan datang ada rezeki buat mereka. Allah Maha Mengasihani,” katanya.

Enggan berlama-lama dalam topik balik raya dan tiket penerbangan, penulis sempat bertanya apakah kelainan sambutan Aildilfitri di Sabah berbanding Kuala Lumpur.

Naik trak keliling kampung

Kata Wani, terlalu banyak perbezaan terutamanya dari segi kemeriahan yang menjadi kenangan sampai bila-bila.

“Kalau di Sabah, hari raya pertama semua akan berkumpul di rumah nenek. Masa itu memang penuh rumah sebab semua ada.

“Kemudian, kami semua akan naik trak tiada bumbung untuk beraya di rumah jiran sekampung. Tak kisahlah kenal atau tak, semua beraya saja.

“Memang seronok sebab kita ramai-ramai kat atas trak, dapat rasa kemeriahannya.

“Kalau di Kuala Lumpur kan tak boleh benda macam begitu?” tutupnya.

BERSIMPATI nasib segelintir ahli masyarakat yang tidak dapat pulang beraya atas kekekangan kewangan, Wani mendoakan suatu hari nanti, rezeki menikmati raya di kampung halaman akan berpihak kepada semua orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN