fbpx

PM, isteri bertemu Muhammad Nadir, keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan Wan Azizah bergambar bersama Muhammad Nadir dan keluarganya yang berjaya dibawa keluar dari Gaza ke Malaysia.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan keluarganya di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau gembira melihat isteri dan anak-anak Muhammad Nadir kini dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan panjang di Semenanjung Gaza.

Selain itu katanya, mereka turut berkongsi tentang penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman keluarga berkenaan keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.

“Saudara Nadir turut berkongsi kisah di mana anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang memburuk di sana.

“Saya doakan saudara Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang,” katanya menerusi Facebook.

Dalam masa sama Anwar berkata, beliau akan terus membantu memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin.

Terdahulu, Muhammad Nadir mendedahkan Perdana Menteri merupakan watak utama dalam ‘Misi Gila’ membawa anak-anaknya pulang ke Malaysia.

Muhammad Nadir dalam satu hantaran berkata, segalanya bermula apabila beliau bersama sahabatnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr. Ahmad Sani Abdul Alim Araby berpeluang untuk menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu majlis di Shah Alam.

Katanya, ketika itu beliau sempat memberitahu kepada Anwar bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Susulan itu sehari sebelum Aidilfitri katanya, beliau telah dihubungi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dan dibawa bertemu keluarganya di satu lokasi khas. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI