fbpx

Kapasiti empangan 30.3 peratus bukan maksud air bertahan 30 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empangan Air Itam.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan kapasiti efektif Empangan Air Itam yang mencatatkan paras 30.3 peratus bukan bermakna bekalan air di kawasan itu hanya bertahan setakat 30 hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. K. Pathmanantan berkata, anggaran tersebut mengelirukan kerana terdapat kelayakan penting iaitu tanpa hujan.

“Apabila ada hujan di Kawasan Tadahan Air (KTA) Air Itam, bilangan hari akan berubah. Ini berdasarkan pelepasan cuaca kering sebanyak 22 juta liter sehari (JLH).

“Hari ini, PBAPP melaksanakan AIDAP 2024 (Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024) dengan pelepasan 11 JLH.

“PBAPP mempunyai pilihan untuk mengetatkan lagi kawalan bekalan air AIDAP untuk mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa yang lebih lama,” katanya di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, pelaksanaan kawalan tersebut boleh menyebabkan beberapa kesulitan kepada sesetengah pengguna di kawasan perkhidmatan Air Itam.

Dalam pada itu, jelas beliau lagi, keputusan AIDAP 2024 dalam tempoh 70 hari lalu harus menyakinkan pengguna bahawa kapasiti efektif empangan ketika ini bukanlah penyebab panik.

Menurutnya, ini kerana PBAPP tidak tahu berapa lama tempoh musim panas dan kering akan berakhir.

“Perkhidmatan bekalan air masih normal di kawasan Air Itam. Menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan daripada fenomena El Nino (panas dan kering) kepada fenomena La Nina (basah dan hujan) tidak lama lagi.

“MetMalaysia meramalkan taburan hujan yang lebih tinggi di Pulau Pinang pada jangka masa April hingga Julai 2024, dengan ketibaan musim peralihan monsun.

“Untuk memastikan kita mempunyai air yang mencukupi di Pulau Pinang, pengguna air (terutamanya pengguna Air Itam) harus mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus pada April, Mei dan Jun ini,” ujarnya.

Kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini tidak membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam yang kini mencatat tahap ketiga kritikal iaitu pada kapasiti 30.8 peratus.

Katanya, ini kerana hujan berkenaan tidak turun di kawasan tadahan air Empangan Air Itam sebaliknya ia turun di kawasan lain di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI