fbpx

‘Arwah tersenyum, pakai selendang putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusnita menunjukkan gambar Allahyarham Izatul Azwa di Kampung Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. - Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED /KOSMO!

SABAK BERNAM – “Arwah yang berselendang putih hadir dalam mimpi dengan tersenyum dan saya demam seminggu kerana amat merinduinya,”.

Begitu keperitan ditempuh Yusnita Abdullah Yusof, 44, selepas terpaksa meraikan Aidilfitri tanpa anak perempuannya yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini, selepas lapan hari dilaporkan hilang.

Mayat Allahyarham Izatul Azwa Norollah, 17, ditemui dalam keadaan reput bersama motosikal Yamaha Y15ZR kira-kira pukul 11.15 pagi pada 3 Mac lalu.

Bercerita lanjut, Yusnita memaklumkan, lebaran kali ini disambut secara sederhana kerana keluarga masih berduka dengan kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu.

“Kami hanya beraya sekadar yang ada dan tidak semeriah seperti tahun sebelumnya.

“Air mata ini akan mengalir melihat hidangan limpa masak rendang dan kuih tart nenas yang menjadi kegemaran arwah setiap kali 1 Syawal,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.

Menurutnya, dia mengalami demam teruk selepas beberapa hari tragedi itu kerana terlalu rindukan Izatul Azwa.

“Selain itu, saya bermimpi melihat arwah datang ke arah saya dengan wajahnya yang tersenyum. Walaupun hanya sekadar mimpi, ia sekurang-kurangnya mengubat kerinduan terhadap arwah apatah lagi ketika sambutan Ramadan lalu,” ujarnya.

Tambah Yusnita, dia sekeluarga turut sempat memenuhi hasrat arwah yang mahu menjual lemang, ketupat dan rendang ketika bulan puasa.

Kosmo! pada 4 Mac lalu melaporkan mangsa dilihat kali terakhir ketika keluar rumah untuk mengambil wang gaji sebagai pekerja katering separuh masa dan menemui rakannya pada 25 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI