fbpx

Kerajaan beri jaminan tahap keselamatan di pintu masuk negara terkawal, selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMSUL Anuar (tengah) menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga IPD Pengkalan Hulu dan pesara polis sempena lawatan kerjanya di IPD Pengkalan Hulu di Gerik hari ini.

GERIK – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di semua pintu masuk negara berada dalam keadaan terkawal dan selamat susulan kejadian tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, orang ramai tidak perlu gusar kerana semua agensi keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi menangani sebarang ancaman jenayah.

Bahkan katanya, kerajaan juga sentiasa meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan.

“Rakyat tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di KLIA dan pintu-pintu masuk sempadan negara kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain sentiasa mengambil berat berkaitan hal tersebut.

“Malah, setiap agensi keselamatan juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keadaan (di pintu masuk negara) adalah selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan Pesara Polis, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, insiden sedemikian bukan pertama kali berlaku malah kes-kes besar yang terjadi sebelum ini telah ditangani dengan baik oleh pihak polis.

Sehubungan itu, orang ramai diminta meletakkan kepercayaan kepada pasukan keselamatan untuk menjalankan siasatan sehingga tertangkapnya suspek.

“Saya percaya PDRM sedang menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mengambil langkah sewajarnya terutama di pintu sempadan negara supaya suspek tidak bolos ke negara jiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI