KLUANG – Seorang ibu hanya mampu mencium baju yang dipakai anaknya yang hilang tanpa khabar berita sejak 13 bulan lalu bagi melepaskan kerinduan terutamanya ketika menyambut kedatangan 1 Syawal.
Menurut Saniah Debet, 53, Anaknya, Mohammad Akmal Hakimi Ishak hilang tanpa jejak sehingga kini selepas keluar mendaki bukit secara bersendirian di Pulau Mawar, Mersing pada 1 Februari 2023.
Hanya motosikalnya ditemui orang ramai di satu kawasan di Pulau Mawar.
Menurut Saniah, dia akan berbuat demikian setiap kali teringat pada anak bongsu daripada dua beradik itu.
“Saya tidak membasuh baju tersebut kerana bau peluhnya masih melekat.
“Saya terasa amat dekat dengannya apabila mencium bau peluh pada bajunya, walaupun sudah lebih setahun, namun bau peluhnya masih segar seolah-olah baru dipakai,” katanya.
Dia berkata demikian ketika di temui di rumahnya di Taman Sri Impian, di sini baru-baru ini.

Katanya, dia dan suami, Ishak Khamis, 58, berkunjung hampir setiap bulan ke Pulau Mawar semata-mata ingin menjejak Mohammad Akmal Hakimi yang
dirasakan masih berada di pulau itu.
Ujarnya, setiap kali datang ke situ, dia akan membisikkan kata-kata merindui anaknya itu dan berasakan Mohammad Akmal Hakimi mendengar ungkapan itu, namun masih belum menjawabnya secara realiti.
Menurutnya, apabila tiba bulan Ramadan serta Syawal, kenangan bersama anaknya itu akan membuatkan hatinya meronta-ronta untuk mengetahui di mana dia berada sekarang.
Kata Saniah, untuk menerima kehilangan anaknya selama 13 bulan dengan reda adalah sesuatu yang memeritkan apatah lagi sehingga kini jasadnya
masih belum ditemui.
Ujar Saniah lagi, anaknya menuntut dalam pengajian Diploma Kejuteraan Teknologi Marin di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Lumut, Perak.
Dia sepatutnya sudah pun menjalani latihan praktikal di Lumut sekiranya tidak berlaku kejadian misteri berkenaan.













