fbpx

Serangan Iran-Israel: Malaysia sahut seruan PBB, gesa hentikan permusuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI mengibarkan bendera Iran ketika berkumpul di Teheran semalam. – AFP

PUTRAJAYA – Malaysia menggesa semua pihak di rantau yang terlibat supaya mengelak dan berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Asia Barat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, serangan oleh Iran ini adalah sebagai serangan balas terhadap serangan bom awal oleh rejim Israel terhadap konsulat Iran di Damsyik pada 1 April lalu.

Katanya, Iran menyatakan itu adalah tindakan bela diri berdasarkan kepada Piagam 51 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Setelah serangan berakhir, Perutusan Tetap di PBB mengumumkan bahawa Iran menganggap tindakan mereka terhadap Israel dibenarkan dan “dianggap selesai”.

“Namun, menegaskan sekiranya rejim Israel atau sekutunya “melakukan sekali lagi kesalahan, tindak balas Iran akan jauh lebih berat”, ini akan terus menyebabkan serangan yang tidak berpenghujung.

“Sebarang bentuk provokasi atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin.

“Malaysia seterusnya, menyahut seruan Setiausaha Agung PBB untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta merta.

“Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan menyebabkan kematian lebih ramai lagi nyawa yang tidak berdosa,” tambahnya.

Justeru, kerajaan menggesa pihak yang berkenaan untuk meredakan persengketaan dan mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini dan tidak menggalakkan negara lain untuk bertindak secara agresif.

“Objektif utama adalah untuk mencari keamanan dan penyelesaian kekal kepada nasib rakyat Palestin, bukannya memanjangkan lagi konflik,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Iran melancarkan lebih 200 dron kamikaze, peluru berpandu kruz dan balistik ke arah Israel manakala serangan masih ‘berterusan’, kata seorang jurucakap tentera Israel pagi tadi.

“Rejim di Iran ‘menghantar’ kumpulan terdiri daripada lebih 200 dron pembunuh, misil kruz dan misil balistik,” kata Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu kenyataan.

Katanya, seorang budak perempuan cedera dalam serangan itu (setakat malam tadi). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI