fbpx

Nasri ganti Azman, pangku Pengarah JSPT Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Nasri (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSPT di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) I Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar dilantik menjadi pemangku Pengarah JSPT, Bukit Aman, hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang bersara wajib selepas berkhidmat dalam pasukan lebih 36 tahun.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Razarudin, persaraan Mohd Azman pasti akan meninggalkan legasi yang tersendiri dalam lipatan sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di JSPT.

“Biarpun hanya menduduki kerusi nombor satu JSPT selama lima bulan, beliau (Azman) telah berjaya melaksanakan beberapa transformasi dan penambahbaikan kepada proses kerja
dalam memantapkan hala tuju JSPT menjelang 2030.

“Antara tindakannnya mentransformasikan Bilik Gerakan Trafik kepada Federal Traffic Control Center (FTCC) menjadi pusat untuk menyalurkan laporan-laporan menarik perhatian berkaitan kemalangan dan kesesakan jalan raya kepada Malaysia Control Center (MCC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSPT di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sementara itu, Azman dalam ucapannya berkata, peluang diberikan selama lima bulan menerajui JSPT merupakan detik manis beliau sepanjang berkhidmat bersama PDRM.

“Saya sangat bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan sehingga ke peringkat ini.

“Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna sepanjang karier di dalam pasukan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah memberikan sokongan, bantuan serta kerjasama kepada saya sepanjang bertugas. Tanpa sokongan dan kerjasama tidak mungkin amanah ini dijalankan dengan sempurna,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI