fbpx

AEON BiG buka cawangan ke-22 di Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMSUL Iskandar (tengah), Sheikh Farouk (kanan) dan Iskandar pada Majlis Pembukaan Pasar Raya Besar AEON Big di Pusat Beli-belah Palm Mall, Seremban semalam. – MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON BiG) salah satu rangkaian pasar raya besar terkemuka Malaysia menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak empat hingga lima peratus menerusi pembukaan cawangan baharunya yang ke-22 di Seremban serta menerusi pertambahan sebuah lagi cawangannya tahun ini.

Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, tahun lepas pihaknya berjaya mencatatkan hasil jualan lebih RM1 bilion dan pihaknya optimis sasaran tahun ini mampu dicapai melihat kepada sokongan pelanggan terhadap pasar raya besar itu.

“Selepas pembukaan cawa­ngan ke-22 di Seremban, akan ada pertambahan sebuah outlet baharu lagi dan yang bakal dibuka pada Disember depan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23 cawangan.

“Pada tahun depan pula, sekurang-kurangnya dua buah lagi outlet baharu akan dibuka, ia sedang dalam perbincangan selain kami turut menyasarkan pembukaan cawangan di negeri yang belum mempunyai outlet,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pasar Raya Besar AEON Big ke-22 di Pusat Beli-belah Palm Mall, Seremban semalam.

Hadir merasmikan cawangan pasar raya besar itu ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengerusi AEON Co. (M) Bhd., Datuk Iskandar Sarudin.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembukaan cawangan baharu di Seremban itu, Sheikh Farouk berkata, ia merupakan pencapaian signifikan bagi AEON BiG kerana merupakan perluasan rangkaiannya yang pertama sejak tahun 2020.

“la juga menandakan kepula­ngan AEON BiG ke Negeri Sembilan selepas sembilan tahun. Pembukaan cawangan baharu ini juga mencerminkan komitmen AEON BiG untuk menyediakan pengalaman membeli-belah premium dengan harga yang berpatutan, sekali gus memenuhi keperluan dan permintaan pelbagai pelanggannya.

“Kami sangat gembira untuk mengumumkan pembukaan cawangan ke-22 di Seremban, sebuah kawasan baharu dan ini me­nunjukkan komitmen kami untuk berkhidmat untuk rakyat Malaysia di mana jua.

“Falsafah kami adalah untuk mengutamakan pelanggan dan kami berharap bahawa pembukaan ini juga akan membawa impak positif kepada pembangunan peruncitan tempatan dan ekonomi bagi Seremban dan kawasan sekitarnya,” ujarnya.

Bersempena dengan pembukaan tersebut juga, AEON BiG di Palm Mall, Seremban turut menawarkan promosi istimewa selama tiga hari untuk produk terlarisnya dari 5 hingga 7 April.

Sementara itu, pada majlis tersebut, turut diadakan sumbangan bantuan dalam bentuk AEON Big Gift Card kepada 60 buah keluarga kurang berkemampuan.

Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) AEON BiG yang dijayakan dengan kerjasama pertubuhan amal, Empire Project.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI