fbpx

Tersilap jalan pulang buka puasa jumpa JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azrin ketika memeriksa salah seorang penunggang dalam Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2024 di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 2, malam tadi. Foto SHIDDIQIEN ZON/KOSMO!

PETALING JAYA – Tersilap jalan untuk pulang ke rumah selepas berbuka puasa menyebabkan seorang wanita yang menaiki motosikal ditahan di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan (PJS) 2, di sini malam tadi.

Jururawat hospital swasta itu berkata, dia terlepas simpang jalan dan terpaksa melalui lebuh raya untuk pulang ke rumah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Ketika diperiksa, wanita berusia 23 tahun itu tidak memiliki lesen memandu selain gagal menunjukkan kad pengenalan diri yang didakwa tertinggal di rumah.

“Saya baru balik berbuka puasa di sekitar Taman Medan. Kad pengenalan diri pun saya tak bawa kerana biasanya saya ikut jalan ‘dalam’ tetapi terlepas simpang dan memasuki lebuh raya ,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, dalam tangkapan lain, seorang pelajar warga Bangladesh yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, ditahan kerana memiliki lesen memandu Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua penunggang antara yang ditahan dalam Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang diadakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, dalam operasi itu, sebanyak 497 kenderaan diperiksa dengan 192 motosikal diambil tindakan termasuk 40 daripadanya disita.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 395 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh yang merekodkan antara kesalahan tertinggi,” katanya pada sidang akhbar HRA 2024 di Plaza Tol PJS 2, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Azrin berkata, operasi sempena Aidilfitri tersebut dilaksanakan selama 20 hari dengan kekuatan 382 pegawai dan anggota JPJ Selangor bermula 1 April lalu.

“Kita akan fokus penguatkuasaan bagi sembilan kesalahan utama antaranya tidak mematuhi had laju, memotong di garisan berkembar serta menggunakan telefon bimbit.

“Selain itu, anggota dari bahagian Kejuruteraan Automotif dan Pemeriksaan Kereta Motor (PKM) akan membuat pemeriksaan bas di depoh,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, larangan pemanduan kenderaan barangan pula akan bermula pada 8 dan 9 April serta 12 dan 13 April bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dalam tempoh musim perayaan.

Tambahnya, pelaksanaan HRA 2024 diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menerusi pematuhan undang-undang di tahap tertinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI