fbpx
SHIRLEY (kiri) bersama Azizan melihat koleksi sampul duit dan kad raya dalam simpanan mereka di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Kumpul sampul dan kad raya edisi terhad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‘HANYA jauhari mengenal manikam’. Itu merupakan peribahasa tepat bagi menggambarkan keupayaan Shirley Liew memahami nilai sebenar di sebalik sekeping sampul duit dan kad raya.

Bagi sebilangan besar masyarakat, meletakkan wang ke dalam sampul raya terlebih dahulu sebelum diagih-agihkan adalah sebahagian daripada adat turun-temurun.

Kemudian, sampul itu akan dibuang begitu sahaja atau ‘dikitar semula’ untuk kegunaan pada acara keramaian akan datang.

Sementara itu, kad raya pula merupakan pengganti diri yang dihiasi dengan kata-kata khas daripada pengirim kepada penerima.

Kad-kad ucapan raya sering menjadi sebahagian daripada hiasan rumah pada Aidilfitri pada suatu ketika dahulu.

Para tetamu boleh membaca kad-kad itu tatkala tradisi kunjung mengunjung dilakukan.

Namun, bagi seorang wanita berbangsa Cina, sampul dan kad raya memiliki nilai nostalgia lebih daripada itu.

Baginya, sampul dan kad raya melambangkan perubahan yang dialami masyarakat Malaysia sejak kedua-dua tradisi itu mula diperkenalkan.

Menurut Shirley, perubahan bentuk sampul duit daripada bersaiz kecil kepada panjang juga dipengaruhi oleh penggunaan jenis mata wang.

“Dahulu, kebanyakan sampul bersaiz kecil kerana duit syiling masih digunakan.

“Bahkan, terdapat sampul yang memiliki slot kecil untuk diselitkan duit syiling.

“Bagaimanapun, saiz sampul masa kini telah berubah menjadi panjang. Ini kerana, penggunaan duit kertas lebih menjadi keutamaan bagi generasi sekarang,” katanya ketika ditemui K2 di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Secara keseluruhan, pekerja di sebuah bank swasta itu sudah berjaya mengumpul lebih kurang 10,000 keping sampul duit, manakala 2,000 kad raya pelbagai perayaan sejak sedekad lalu.

Koleksi-koleksi kad dan sampul duit raya yang ada dalam simpanannya diletak dalam album, dibukukan, dibingkai atau ditampal pada kertas-kertas tebal sebelum disimpan dalam almari.

Koleksi dari tahun 1990-an hingga kini itu dikumpul dengan cara membeli atau menukar suka sama suka dengan pengumpul lain.

Antara koleksi unik dalam simpanan Shirley adalah sampul Kongsi Raya (gabungan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina) yang hanya dikeluarkan setiap 30 tahun.

Mengulas lanjut, wanita berusia 42 tahun itu berkata, perubahan ketara dapat dilihat pada kertas dan grafik yang digunakan pada sampul tersebut.

KOLEKSI sampul Kongsi Raya yang hanya dikeluarkan setiap 30 tahun.

“Pada era 90-an, lukisan-lukisan di atas kertas sering kali memiliki ciri-ciri artistik terperinci. Berbeza dengan sampul masa kini.

“Kebanyakan sampul masa kini polos dan tidak ada tulisan ‘Selamat Hari Raya’. Sebaliknya, sekadar gambar simbolik perayaan dan lambang syarikat,” jelasnya.

Difahamkan, pemberian duit raya dalam sampul diadaptasi daripada tradisi budaya Cina yang memberi angpau (sampul merah) kepada saudara-mara pada Tahun Baru Cina.

Bagi orang Melayu pula, ia lebih eksklusif pada perayaan Aidilfitri.

Namun, penggunaan sampul duit raya juga digunakan pada majlis perkahwinan, cukur jambul dan kematian.

Amalan itu terus berkembang dalam masyarakat Malaysia sehingga diserap ke dalam perayaan lain seperti Deepavali, Krismas dan Hari Gawai.

Bagi kad raya pula, tiada sejarah bertulis yang menunjukkan tarikh sebenar bermulanya tradisi menghantar kad ucapan raya.

Namun, terdapat kesan-kesan sejarah yang menunjukkan bahawa kad ucapan itu telah muncul sejak sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Tradisi kad raya mencapai kemuncak pada tahun 1970-an dan 1980-an apabila teknologi percetakan semakin berkembang, sekali gus membolehkan ia dicetak dengan lebih murah.

Biarpun tradisi bertukar kad raya semakin pupus ditelan zaman, namun terdapat beberapa pihak yang masih mengekalkan amalan tersebut.

Antaranya ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membalas setiap kad ucapan Hari Raya Aidilfitri yang diterima baginda daripada rakyat jelata pada tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda setiap tahun akan mengutus kembali kad ucapan Aidilfitri yang diterima daripada rakyat.

Sementara itu, di peringkat komuniti pula, Kelab Koleksi Kad dan Sampul Perayaan (KKSP) juga aktif menjalankan aktiviti bertukar koleksi sampul dan kad raya.

Pengasasnya, Azizan Ismail mendedahkan, kelab yang ditubuhkan pada 2014 itu memiliki lebih kurang 2,000 ahli di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

“Saya memang suka simpan sampul duit dan kad raya dari dahulu lagi.

“Namun, saya mula serius setelah jumpa ramai orang yang memiliki minat sama menerusi internet.

“Setelah lama berhubung menerusi e-mel dan Facebook, saya tergerak hati untuk mengasaskan persatuan KKSP bagi memudahkan kami berkongsi minat,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, KKSP sering menerima jemputan mempamerkan hobi mereka dalam Malaysian Expo Hobby pada setiap tahun.

Ahli kelab tersebut akan bertambah setiap kali perayaan dan saling membantu antara satu sama lain bagi melengkapkan koleksi masing-masing.

Antara koleksi yang dikumpul adalah sampul dan kad perayaan bagi tiga perayaan (3P), sampul dua perayaan (2P), kad dan sampul raya sepadan serta sampul duit raya suai cantum.

Tambah lelaki berusia 50 tahun itu, kekurangan cetakan sampul duit raya yang menarik serta kesukaran mendapatkan koleksi kad raya merupakan cabaran kepada hobi itu.

“Sekarang, banyak entiti perniagaan mengenakan had pembelian barangan sebanyak ratusan ringgit sebelum pelanggan diberikan satu paket sampul duit raya.

“Sementara itu, bagi kad raya pula, jualannya di pasaran sudah semakin terhad dan sukar dicari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN