fbpx

Zii Jia belum pasti ke Piala Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA mempunyai sekurang-kurangnya lima kejohanan sebelum turun bersaing di Olimpik Paris nanti.

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia masih belum memberikan kata putus untuk menyertai skuad badminton lelaki kebangsaan ke Piala Thomas di Chengdu, China bermula 28 April hingga 5 Mei nanti.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mengadakan pertemuan de­ngan Team Lee Zii Jia (LZJ) semalam menjelaskan, mereka me­minta diberikan tempoh sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata, Zii Jia yang berada di bawah bimbingan Wong Tat Meng turut memiliki perancangan tersendiri bagi melakukan persiapan untuk menghadapi temasya Sukan ­Olimpik Paris 2024 Julai depan.

“Dalam pertemuan hari ini (semalam), kami berbincang mengenai perancangan mereka (Team LZJ) buat Zii Jia. Mereka memang ada berfikir mengenai Sukan Olimpik serta sasaran mereka sendiri.

“Ketika ini Zii Jia berada di ranking ke-10 dunia, jadi mereka meletakkan sasaran untuk dia masuk dalam kelompok lapan terbaik. Ada beberapa perkara yang perlu difikirkan untuk Piala Thomas,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara ­semalam.

Tambah pengendali dari Indonesia itu, Team LZJ juga perlu mengambil kira beban tugas yang bakal dipikul Zii Jia sekiranya dia bersetuju menggalas misi pada kejohanan dwi­tahunan itu.

Beliau berkata, pihaknya menghormati serta menyokong keputusan Team LZJ selain mahu berbincang dengan pe­ngurusan ABM berhubung beberapa cadangan diutarakan pasukan profesional itu.

“Seperti mana pentingnya ­Piala Thomas, mereka juga harus memikirkan bagaimana untuk mempersiapkan Zii Jia kerana dia akan bermain bermula di BAC (Kejohanan Badminton Asia), Malaysia Masters, Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia dan Terbuka Australia.

“Kalau bermain di Piala Thomas, ia akan menjadi beban yang terlalu banyak. Oleh itu, mereka akan berbincang terlebih dahulu mengenai Piala Thomas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Rexy turut memaklumkan beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah hampir pasti tidak disenaraikan membawa cabaran Malaysia dalam aksi Piala Uber nanti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI