fbpx

Labuan lebih daif berbanding dua lagi Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mendedahkan Wilayah Persekutuan Labuan berada dalam demokgrafi ekonomi berbeza jika ingin dibandingkan dengan dua lagi Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jelas Mohd Hisamudin, menurut Jabatan Statistik Malaysia, median gaji tahun 2022 bagi warga Kuala Lumpur adalah sebanyak RM 10,324, bagi warga Putrajaya pula ialah RM 10,056, namun bagi warga Labuan pula hanya RM6904, perbezaan antara 30 hingga 40 peratus.

“Dengan pengisytiharan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 September 1956 dan Pusat Kewangan Antarabangsa pada tahun 1990, namun menurut Statistik Tahunan Tenaga Buruh 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, Labuan mencatatkan 7.2 peratus kadar pengangguran, jauh lebih tinggi daripada paras pengangguran nasional yang berada pada kadar tiga peratus sahaja.

“Ini belum lagi mengambil kira ribuan peluang pekerjaan yang tersedia di Labuan adalah daripada syarikat minyak dan gas, Asean Supply Base yang merupakan anak syarikat Sabah Energy Corporation Berhad, sebuah inisiatif kerajaan negeri Sabah.

“Sekiranya Kerajaan Sabah mengeluarkan Asean Supply Base ini daripada Labuan, kadar pengangguran dijangka akan meningkat jauh lebih tinggi,” jelas beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau lagi, menurut Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan IBFC) menjadi hos kepada hampir 900 institusi kewangan, yang merangkumi pelbagai aktiviti perbankan, insurans, insurans semula (reinsurance), perdagangan komoditi, pajakan dan perkhidmatan kewangan digital.

“Namun, kenapa keadaan di Labuan masih lagi daif, dari pelbagai aspek, ia termasuklah isu air, elektrik, darjah ketersampaian dan sebagainya, sebagai contoh, paip lama, paip pecah, tekanan air tidak cukup kuat.

“Malah sumber air Labuan sendiri pun daripada Sabah yang disalurkan melalui 47 km paip bawah tanah yang usang. Sudah tiba masanya untuk Labuan mempunyai sumber dan loji air sendiri,” katanya lagi.

Beliau menggesa agar kerajaan mempertingkatkan kualiti persekitaran kehidupan di Labuan, kerana perlu memaksimumkan potensi dan peluang Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir dan juga Hab Kewangan Islam Malaysia.

“Jika keadaan tidak kondusif, pelabur tidak akan melabur dan mungkin hanya menggunakan Labuan sebagai cara untuk lari daripada cukai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI