fbpx

Tiada kes anthrax di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan Malaysia bebas daripada penyakit anthrax semenjak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.

JPV melalui satu kenyataan berkata, sehingga kini, tiada sebarang laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini namun begitu, penyakit berkenaan sentiasa aktif di kebanyakan negara di merata benua.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, JPV telah, sedang dan akan terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada anthrax antaranya memaklumkan pihak berkuasa veterinar Thailand terhadap kebimbangan Malaysia ke atas wabak itu dan meminta agar pemeriksaan penyakit anthrax dikenakan ke atas semua ternakan Thailand ke Malaysia.

“Meneruskan aktiviti pemantauan klinikal ke atas ternakan ruminan di negara ini melalui Program Survelan Kebangsaan untuk mengesan penyakit anthrax seawal
yang mungkin.

“Meningkatkan tahap kesiapsiagaan JPV terhadap penyakit anthrax di semua peringkat termasuk JPV negeri, makmal veterinar dan Institut Penyelidikan
Veterinar (VRI), melalui persediaan kelengkapan logistik, proses kerja menghadapi wabak penyakit anthrax dan mengemas kini maklumat berkenaan anthrax,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Antara langkah lain yang dijalankan JPV termasuk, menyediakan garis panduan pemeriksaan penyakit anthrax kepada pegawai MAQIS di pintu-pintu masuk negara untuk memastikan penguatkuasaan teknikal dapat dijalankan dengan lebih efisien dan efektif khususnya ke atas ternakan import dari Thailand.

Langkah terakhir adalah, menyediakan risalah penyakit anthrax untuk edaran umum sebagai panduan mencegah daripada dijangkiti anthrax.

“JPV ingin menasihati para penternak untuk meningkatkan tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang musim perayaan, setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pergerakan ternakan yang sah.

“JPV juga menegaskan agar penternak sentiasa berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pergerakan yang sah terutamanya
ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran,” jelas kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, semua pihak khususnya penternak adalah dipohon untuk sentiasa mengambil perhatian terhadap perkembangan semasa kejadian penyakit haiwan dan melaporkan segera kepada JPV negeri berhampiran atau hotline 03-8870 2041 sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal pada haiwan ternakan masing-masing.

Terdahulu, penyakit anthrax ini disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan boleh membawa maut.

Penyakit ini boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI