fbpx

Sedania santuni ibu tunggal, anak yatim, tingkatkan kesedaran hibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Nisa ketika sesi perkongsian bersama ibu tunggal berkaitan hibah pada Majlis Sedania Iftar Ramadan 2024 di Villa Zamara, Sungai Penchala. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

PETALING JAYA – Sedania Innovator Berhad (Sedania) menyantuni sejumlah 60 ibu tunggal dan anak-anak yatim sekali gus memberikan pendedahan tentang kepentingan hibah dalam satu majlis berbuka puasa, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung setiap tahun itu adalah hasil dedikasi pihak Kumpulan untuk pemerkasaan wanita dan menghargai pengorbanan ibu-ibu tunggal khususnya mereka yang berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, institusi kekeluargaan merupakan tunjang utama dalam kalangan masyarakat yang perlu diperkukuhkan demi melahirkan generasi yang berkualiti.

“Bagi menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan ini, kami tidak melupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Di samping itu kami juga dapat membantu mengeratkan silaturahim antara komuniti dan ibu-ibu tunggal,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramadan Iftar Sedania, di Kampung Sungai Penchala, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disertai ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim dari Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Kelana Jaya dan Persatuan Anak Yatim dan Ibu Tunggal Nur Hikmah.

Dalam majlis yang sama, Kumpulan juga melancarkan ‘Sedania Extended Family Programme’ dengan memberi peluang kepada semua kakitangan untuk menjadi keluarga angkat kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Dalam pada itu, program ini juga menekankan tentang kepentingan hibah dalam memastikan kestabilan kewangan dan masa depan yang lebih terjamin bagi meneruskan kesinambungan hidup bersama anak-anak.

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Khairul Nisa Ismail berkata, program ini salah satu medium untuk mengukuhkan komitmen dalam pendidikan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang potensi hibah.

Ujarnya, hibah bukan sekadar meninggalkan harta pusaka mahupun legasi, tetapi memberi ketenangan dan dapat mengelakkan perselisihan sesama ahli keluarga.

“Dengan ilmu yang betul dan persiapan yang teliti, setiap wanita boleh menjadi pelindung kepada anak-anaknya dan merancang masa depan keluarga dengan lebih bertanggungjawab.

“Kami juga ingin menegaskan betapa pentingnya hibah sebagai instrumen perancang kewangan yang efektif dalam menjaga keharmonian keluarga, khususnya para ibu tunggal supaya dapat membesarkan anak-anak mereka dengan lebih stabil.

“Jika tiada persediaan awal, kemungkinan nasib mereka tidak terbela dan sering kali terabai disebabkan kekangan kewangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI