fbpx

Lelaki Israel bakal berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

KUALA LUMPUR – Lelaki Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol akan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup, sebatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 23 orang saksi telah diambil keterangan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Buat masa ini satu kertas siasatan dibuka membabitkan lelaki Israel manakala satu lagi kertas siasatan membabitkan pasangan warga tempatan.

“Lelaki Israel direman sehingga Ahad manakala pasangan warga tempatan sehingga Jumaat ini,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya giat mengesan lebih daripada dua individu dipercayai mampu membantu siasatan berkait penahanan lelaki berusia 38 tahun itu.

“Kita masih lagi ada dalam radar untuk menangkap lebih daripada dua orang terdiri daripada warga asing dan warga tempatan. Kita siasat pelbagai kemungkinan termasuk kaitan pemilikan senjata api,” katanya.

Tambah Razarudin, terdapat beberapa perkara berkaitan siasatan perlu dijaga kerahsiaannya dan tidak dapat didedahkan kepada umum bagi memastikan kes tersebut berjalan lancar.

“Ada perkara yang saya tak boleh dedahkan terutamanya dia akan merosakkan daripada segi operasi dan siasatan. Saya tak boleh dedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan laporan media antarabangsa kononnya kemasukan lelaki Israel disebabkan persaingan keluarga mafia, mungkin sekadar dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.

Tambah beliau, alasan untuk mencari hanya seorang individu dengan enam pucuk pistol pelbagai jenis adalah sesuatu yang menimbulkan kesangsian.

“Kalau (mungkin) hari raya nak buat kekacauan, kalau tak ditangkap, hari raya dia ‘havoc’, tak ke kacau (susah) kita? Itu yang saya nampak dengan (impak) enam senjata api.

“Dia (suspek) turun pun masa Ramadan, dan Hari Raya Aidilfitri tak berapa lama lagi. Nasib baik cekapnya anggota dan pegawai kita dari (IPD) Dang Wangi dan D9 kita berjaya untuk menangkap suspek ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang suspek warga Israel ditahan sebuah hotel di Jalan Ampang.

Hasil soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.

Razarudin berkata, siasatan mendapati lelaki itu masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis dan ketika disoal lanjut, dia menyerahkan pasport Israel.

Siasatan polis kini memfokuskan kepada sama ada suspek benar-benar ejen Israel termasuk lelaki tersebut dipercayai tidak beroperasi bersendirian.

Susulan penahanan itu, polis meningkatkan keselamatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan orang kenamaan lain, di tengah-tengah sokongan tidak berbelah bahagi negara ke atas Palestin terhadap serangan berterusan Israel di Gaza.

Dalam kes ini, pihak polis telah menahan pasangan berusia 42 dan 40 tahun oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, Jumaat lalu.

Seterusnya, seorang lelaki tempatan ditahan di Cameron Highlands, Pahang, dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI