fbpx

Pendakwaan bantah peguam Guan Eng tanya soalan berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng membantah tindakan pihak pembelaan yang berterusan mengajukan soalan-soalan yang sama berulang kali kepada saksi utama, bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Bantahan itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika prosiding dihadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Wan Shaharuddin dalam bantahannya berkata, soalan yang dikemukan pihak peguam bela sudah pun disoal pada prosiding yang berlangsung sebelum ini.

“Soalan-soalan yang dikemukakan kepada saksi ini tidak relevan berikutan sudah disoal pada prosiding sebelum ini.

“Ini akan melambatkan prosiding di mana soalan-soalan ini boleh disimpan semasa main trail nanti,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberitahu, soalan-soalan yang ditanya adalah relevan dan perlu dijawab oleh saksi.

Guan Eng dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah membabitkan rancangan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri pada masa itu untuk menerima suapan wang bernilai RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik syarikat Zarul melaksanakan projek berkenaan yang bernilai RM6,341,383,702.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia turut berdepan dua pertuduhan penyelewengan dalam melupuskan dua petak tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI