fbpx
Program senam kali ini berjaya mengumpulkan 100 peserta yang melakukan pelbagai aktiviti senaman.

Komuniti senam kekal aktif ketika Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH mencapai berat hampir 93 kilogram (kg) pada satu ketika membuatkan Syed Muhammad Muzahar Syed Abdul Kadir, 48, merasakan ia suatu yang tidak baik buat dirinya.

Oleh itu, dia mengambil insiatif melakukan perubahan.

Pada 2019 dia mengambil keputusan untuk menyertai komuniti dinamakan ‘senam’ yang menyediakan program latihan untuk penurunan berat badan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Matlamat utama saya sertai komuniti ini kerana merasakan saya perlu mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan usia kian meningkat.

“Apabila sertai komuniti ini, usaha untuk menurunkan berat badan lebih bersemangat kerana ada kawan-kawan yang memiliki niat serupa dan kami bersama-sama memberi motivasi antara satu sama lain,” katanya kepada K2.

Sejak 2019, Syed Muhammad Muzahar telah menyertai beberapa siri program senam dan dia berjaya menurunkan berat badannya.

Malah, dia turut menyertai semula program tersebut yang diadakan baru-baru ini selama lima minggu bermula 18 Februari hingga 22 Mac.

“Untuk program baru-baru ini ketika saya menyertainya, berat saya 68.8 kg dan setelah mengikuti pelan latihan yang disediakan oleh jurulatih, saya dapat mengurangkan berat sehingga 5.8 kg dalam tempoh masa lima minggu.

“Dalam program ini, kami bukan hanya ditekankan dengan latihan fizikal body workout semata-mata, malah aspek pemakanan turut dijaga.

“Kami perlu melaporkan kepada jurulatih pemakanan harian apa yang kami ambil setiap hari,” jelasnya.

Dalam pada itu, meskipun memasuki bulan puasa, dia sempat mengikuti program itu selama dua minggu ketika bulan Ramadan sebelum program berakhir pada 22 Mac lalu.

Baginya, bulan puasa bukan alasan untuk seseorang itu tidak aktif bersenam.

“Program ini sempat berlangsung ketika bulan puasa dan saya bersemangat untuk bersenam dan kekal aktif.

“Dalam masa sama, ketika bulan puasa juga kita lebih mudah untuk menjaga pemakanan,” katanya.

Syed Muhammad Muzahar menitipkan pesan buat mereka yang semakin berusia di luar sana untuk kekal aktif.

“Saya sendiri dapat merasakan perubahannya. Badan menjadi semakin ringan dan tidak semput untuk bergerak,” katanya.

Tambahnya, jika merasa sukar untuk melakukan secara bersendirian, orang ramai boleh menyertai mana-mana program kecergasan dan melakukannya dalam kumpulan.

Sementara itu, Suhada Izam, 26, juga antara salah seorang peserta yang menyertai program senam kali ini.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai program ini dan matlamat utama saya adalah untuk kekal cergas di samping meredakan tekanan.

Squat merupakan antara bentuk senaman yang dipraktikkan.

“Malah, sebelum ini saya juga mempunyai hasrat untuk mengurangkan berat badan tetapi tidak berjaya untuk melakukannya kerana tiada motivasi,” terangnya.

Sebelum menyertai program itu berat badannya 51 kg dan setelah menjalani latihan yang diatur sepanjang lima minggu berat badan Suhada kini 47 kg.

“Saya sangat berpuas hati menyertai program ini bukan hanya kerana ada sesi workout semata-mata, malah jurulatih juga banyak mengajar tentang cara pemakanan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, usaha mengurangkan masalah obesiti di Malaysia perlu dipergiat.

Dianggarkan kira-kira 50.1 peratus dalam kalangan rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan sekali gus kekal sebagai masalah utama kesihatan awam.

Menggalakkan masyarakat negara ini mengamalkan amalan gaya hidup sihat merupakan satu langkah wajar bagi mengurangkan kadar obesiti tersebut demi kesihatan.

Program senam dilihat menjadi satu inisiatif yang dilihat mempunyai matlamat tersebut.

Pengasas program senam, Isrul Firdaus menjelaskan, matlamat utama senam adalah untuk menghimpunkan satu komuniti yang mempunyai misi yang sama iaitu ke arah kehidupan yang lebih sihat.

Menurutnya, melalui program sedemikian peserta akan didedahkan dengan cara gaya hidup sihat yang boleh diamalkan mereka.

“Setiap peserta menyertai program ini mempunyai matlamatnya sama ada untuk menurunkan berat badan, membina otot, membakar lemak demi kesihatan yang lebih baik.

“Apabila ia dilakukan secara berkumpulan perjalanan untuk mereka mencapai sasaran itu akan menjadi lebih senang kerana masing-masing mempunyai tujuan yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut tentang program tersebut, Isrul menjelaskan, senam pada awalnya ditubuhkan pada tahun 2019, namun telah terhenti lebih dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Sewaktu itu, mereka hanya fokus latihan program secara online tetapi ia kurang memberi kesan yang ketara.

Pada tahun ini, disebabkan maklum balas keberkesanan yang baik, senam kembali untuk mengembangkan komuniti senam dan beri kesedaran kepada generasi baharu berkenaan program senam.

“Tahun ini kami menjenamakan semua program ini dengan menamakannya senam kembali untuk memberitahu orang ramai bahawa kita telah kembali.

“Untuk musim ini, kita telah berjaya mengumpul hampir 100 peserta yang menjalani program selama lima minggu bermula 18 Februari sehingga 22 Mac lalu,” jelasnya.

Dalam program itu, fokus utama latihan fizikal yang harus diikuti oleh peserta adalah body weight work out ataupun senaman berat badan. Antara kaedah yang digunakan termasuk tekan tubi, squat, burpee dan lain-lain lagi.

Seminar tentang penjagaan kalori dalam pemakanan turut diadakan.

Isrul berkata, untuk program itu mereka melaksanakannya di tujuh lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang.Setiap lokasi akan ada jurulatih yang bertanggungjawab membimbing para peserta.

Menyentuh mengenai program itu yang turut melibatkan bulan Ramadan bermula 12 Mac lalu, Isrul berkata, bagi sesetengah peserta menyertai program senam dalam bulan Ramadan dianggap sebagai peluang untuk tetap aktif dan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

“Dengan adanya program senaman pada Ramadan, kita dapat mengekalkan stamina, momentum dan rutin bersenam supaya selepas habis Ramadan masih ada motivasi untuk bersenam.

“Ramadan adalah bulan kita fokus pada ibadah. Akan tetapi, untuk kita kekalkan momentum rutin senaman kita, dinasihatkan untuk teruskan bersenam walaupun seminggu satu hingga dua kali. Kebaikan bukan sahaja untuk menjaga stamina fizikal diri, akan tetapi dapat meningkatkan stamina bagi melakukan ibadah puasa,” katanya.

Jelasnya, pada bulan Ramadan program senam diadakan selepas tarawih pada jam 10 malam untuk memastikan peserta mendapat manfaat daripada senaman tanpa mengganggu ibadah mereka.

“Bentuk senaman yang dilakukan sama seperti rutin senaman sebelum berpuasa iaitu menggunakan body weight dan equipment sandbag disebabkan modul senam yang sesuai dilakukan selepas berbuka puasa akan tetapi masih disesuaikan dengan stamina setiap peserta dan kebolehan fizikal mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN