fbpx

Kereta penyeludup ganja terbabas masuk ladang harumanis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad (dua dari kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas polis di kawasan ladang harumanis di Bukit Chabang, Padang Besar pada Khamis lalu.

KANGAR – Polis merampas 56 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM173,600 di dalam sebuah kereta yang terbabas di ladang harumanis di Bukit Chabang, Padang Besar dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, dadah itu ditemui selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi bagi mengesan satu kegiatan mencurigakan kira-kira pukul 7.30 pagi.

“Maklumat berdasarkan pemantauan televisyen litar tertutup (CCTV) mengesan dua suspek sedang menyimpan barangan yang dicampak dari negara jiran di laluan pagar keselamatan sebelum mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Anggota PGA mengejar mereka sehingga ke kawasan Bukit Chabang sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum suspek berjaya meloloskan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini hari ini.

Kata beliau, pada kira-kira pukul 8.30 pagi, unit kereta peronda (MPV) menerima maklumat terdapat sebuah kereta mencurigakan di kawasan ladang harumanis di Bukit Chabang daripada orang awam.

“Anggota MPV digerakkan ke lokasi dan menemui sebuah kereta jenis Honda City berwarna biru telah terbabas di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui tiga guni yang di dalamnya mengandungi 56 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja,” ujarnya.

Menurutnya, polis bertindak merampas kesemua barang kes tersebut yang dianggarkan bernilai RM173,600 dan mampu digunakan oleh 280,000 penagih dadah.

“Semakan mendapati kereta tersebut adalah sama dengan kenderaan yang melarikan diri daripada pasukan PGA dari kawasan laluan pagar keselamatan di Padang Besar.

“Siasatan awal mendapati dua suspek terbabit dipercayai pengedar tempatan dan menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan mengedar dadah ke selatan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua suspek yang meloloskan diri itu akan terus diburu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI