fbpx

Kerajaan Amerika Syarikat kebal daripada kuasa Mahkamah Perusahaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Amerika Syarikat melalui kedutaannya di sini berjaya membatalkan perintah Mahkamah Perusahaan yang mengarahkannya membayar RM66,000 kepada bekas pengawal keselamatan kedutaan terbabit yang didakwa dipecat secara salah, 16 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas mendapati pemohon (kerajaan AS) dan kedutaannya mempunyai imuniti dan oleh itu terlindung daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkait tuntutan L. Subramaniam mengikut Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan perintah certiorari pemohon dan membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan. Responden kedua (Subramaniam) diperintahkan untuk membayar kos RM8,000,”kata hakim berkenaan.

Keputusan tersebut disampaikan Mahkamah kepada pihak-pihak berkaitan melalui emel.

Peguam Lim Heng Seng dan Summer Chong Yue Han mewakili kerajaan AS manakala Subramaniam diwakili peguam Ragunath Kesavan. Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin mewakili Peguam Negara selaku amicus curiae atau sahabat mahkamah.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan AS memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Mahkamah Perusahaan dan Subramaniam sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, pemohon antara lain memohon perintah untuk membatalkan award yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan pada 2023 kepada Subramaniam.

Kerajaan AS turut memohon perintah mahkamah agar pemecatan Subramaniam kerana salah laku disiplin dalaman kedutaan negara itu dan negara terbabit serta kedutaannya dilindungi imuniti daripada bidang kuasa Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan tuntutan Seksyen 20 (3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa kerajaan AS dan kedutaannya dilindungi oleh imuniti serta mengarahkan Mahkamah Perusahaan tidak mendengar kes pemecatan salah Subramaniam.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2021 mengetepikan keputusan itu dan memerintahkan Mahkamah Perusahaan meneruskan pendengaran tuntutan tersebut yang menyebabkan kerajaan AS merayu ke Mahkamah Persekutuan, namun rayuan itu ditolak.

Pada 27 April 2023, Mahkamah Perusahaan memberikan award berjumlah RM66,000 kepada Subramaniam sebagai pampasan selepas mendapati kedutaan itu memecat beliau secara salah.

Sebelum ini, Subramaniam mendakwa beliau telah dipecat secara salah pada 2008 selepas bertugas lebih 10 tahun dengan Kedutaan AS.

Dakwa Subramaniam, 56, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan di kedutaan itu dan tidak terlibat dengan fungsi diplomatik atau keputusan kerajaan AS selain tidak memiliki sebarang akses kepada maklumat atau dokumen sulit yang berkaitan dengan kedutaan itu atau kerajaan AS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI