fbpx

Sultan Pahang kecewa serangan bom, mahu tindakan tegas dan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA barang yang rosak di pasar raya KK Super Mart di Sungai Isap, Kuantan yang dibaling dengan molotov cocktail di Sungai Isap dekat Kuantan baru-baru ini.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddn Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan kejadian serangan bom petrol membabitkan cawangan pasar raya KK Super Mart di Kuantan semalam.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Seri Paduka bertitah supaya semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak melampaui batas.

“Paduka Baginda telah menerima sembah maklum oleh pihak polis negeri Pahang mengenai kejadian tersebut dan menitahkan supaya pihak polis memberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara itu.

“Paduka Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan dan kemakmuran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini Kosmo! melaporkan sebuah pasar raya KK Super Mart di Sungai Isap di sini mengalami kebakaran kecil awal pagi semalam akibat perbuatan khianat apabila dibaling dengan molotov cocktail.

Bagaimanapun kejadian kira-kira pukul 5.14 pagi di pasar raya yang baru dua minggu beroperasi itu tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat khususnya rakyat negeri ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu gugat keharmonian dinikmati selama ini.

Baginda turut mengingatkan rakyat supaya menghormati proses untdang-undang yang telah diambil oleh kerajaan berhubung dengan kes penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah

“Sehubungan itu bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini Paduka Baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa agar negeri Pahang dan negara Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI