fbpx

Remaja diugut along, rumah nenek dibaling bom petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kai Jie (Kiri) dan Kah Eng menunjukkan gambar keadaan bahagian depan rumah di Johor Bahru dan Yong Peng yang terbakar akibat perbuatan along.

JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak yang bekerja di Singapura hidup dalam ketakutan apabila menjadi buruan along yang menuntut bayaran sehingga RM192,575 (SGD55,000) sekiranya tidak menjelaskan hutang.

Mangsa dikenali sebagai Kai Jie, 19, berkata, sindiket pinjaman wang tidak berlesen itu bertindak agresif apabila melakukan ugutan dengan api setelah rumahnya di Sri Setanggi, di sini dan rumah neneknya di Taman Seri Wangi, Yong Peng dibaling bom petrol.

Anak bongsu daripada dua beradik itu terjerat dengan ceti haram itu kerana terdesak untuk menggunakan duit dengan membuat pinjaman kira-kira RM1,400 (SGD400), 13 Mac lalu.

“Saya tertarik dengan iklan pinjaman wang di Instagram dan telah membuat permohonan dan menerima wang tersebut, menurut iklan itu saya hanya perlu membayar semula kira-kira sebanyak RM1,925 (SGD550).

“Dalam masa lima hari pada 18 Mac, saya telah membayar bayaran yang dituntut dengan membuat transaksi ke akaun berdaftar di Singapura dan menunjukkan bukti salinan resit transaksi kepada individu terbabit.

“Malangnya, mereka mendakwa tidak menerima bayaran tersebut, malah menuntut bayaran 10 kali ganda iaitu RM19,257 (SGD5,500),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Keadaan bahagian hadapan rumah nenek Kai Jie di Yong Peng yang terbakar akibat perbuatan khianat dengan api.

Lelaki itu berkata, apabila dia tidak membuat pembayaran seperti dituntut, along tersebut bertindak agresif dengan membaling bom petrol ke rumah di Johor Bahru, minggu lalu dan ke rumah neneknya di Yong Peng, Khamis lalu.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh abangnya dan ibu saudaranya di Balai Polis Majidee, di sini dan Balai Polis Yong Peng, pada hari sama kejadian berlaku.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chan Kah Eng berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis serta Konsulat Jeneral Singapura di Malaysia berhubung isu itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI