fbpx

Hukuman penjara dikurangkan, sebak sambut Aidilfitri bersama keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERAYU dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka membenarkan pengurangan hukuman penjara tiga tahun yang sedang dijalaninya. PIX/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Hanya lafaz syukur dapat dizahirkan seorang wanita selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada selama mana dia telah menjalani hukuman atas kesalahan menyimbah anak lelakinya dengan air panas, dua tahun lalu.

Difahamkan, wanita berusia 38 tahun itu bertindak demikian selepas berang mangsa menggunakan data internet telefon bimbitnya untuk menonton video lucah.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan rayuan perayu untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 31 Januari lalu selepas berpuas hati dengan hujah pembelaan dan menerima insiden tersebut sebagai kes terpencil susulan tiada lagi rekod yang menunjukkan anak-anak lain turut didera.

Sementara itu, peguam yang mewakili perayu, Samry Masri berkata, dengan keputusan itu anak guamnya hanya menjalani hukuman penjara selama enam bulan dan tiga hari di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang bermula dari tarikh ditangkap 8 Julai 2023.

“Anak guam dibebaskan hari ini selepas mahkamah bersetuju mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada selama mana dia telah menjalani hukuman. Hari ini dia boleh kembali ke pangkuan keluarga terutama anaknya yang berusia lapan bulan.

“Anak guam juga bersyukur dan insaf atas apa yang telah berlaku. Kes ini terpencil dan kejadian tersebut adalah satu-satunya pemangkin kepada situasi yang terjadi dan dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya ketika ditemui pemberita

Dalam pada itu, ketika dibawa keluar dari mahkamah ibu kepada lima cahaya mata itu kelihatan sebak dan mengalirkan air mata dengan keputusan berkenaan.

Katanya, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dan menyifatkan keputusan itu sebagai bulan jatuh ke riba memandangkan hanya tinggal 12 hari lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Anak yang terlibat dalam kes ini saya tetap sayang dia dan tetap anak saya sampai bila-bila. Saya dah maafkan dia dan harap dia juga memaafkan saya.

“Rasa macam bulan jatuh depan saya, bersyukur sangat kerana Allah bagi peluang saya melihat dunia luar lagi dan terus menjaga anak-anak yang masih kecil,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI