fbpx

‘Seronok dapat baju, alat solek nak sambut raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keisha Arianna Arizal (kiri sekali) ketika membeli-belah barang keperluan Aidilfitri dalam Program Kongsi Rezeki Ramadan anjuran PUNB di Pasar Raya Mydin, Subang Jaya, hari ini.

SUBANG JAYA – “Saya gembira dan bersyukur sangat dapat pergi beli-belah dengan kawan-kawan. Dapat beli alat solek, baju raya, kasut dan lain-lain keperluan diri”.

Kegembiraan itu diluahkan oleh Keisha Arianna Arizal Abdul Rahman, 17, salah seorang penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, Kuala Lumpur pada Program Kongsi Rezeki Ramadan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) di Pasar Raya Mydin, di sini, hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, pemberian tersebut sekali gus memberi semangat kepadanya serta penghuni yang lain untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Malah, dia berharap dapat berkongsi momen indah sepanjang Aidilfitri bersama kawan-kawan di asramanya serta orang yang dikenali dan disayangi.

Keisha Arianna Arizal (kiri sekali) selepas selesai membeli-belah barang keperluan Aidilfitri dalam Program Kongsi Rezeki Ramadan anjuran PUNB di Pasar Raya Mydin, Subang Jaya, hari ini. – Foto oleh AMARULLAH ZAINUZZAMAN / KOSMO!

“Sebabkan masuk asrama ni, saya dapat banyak pengalaman baharu berbuka sekali dengan kawan-kawan, belajar berkongsi dengan mereka,” katanya.

Keisha Arianna Arizal merupakan salah seorang 35 penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Kuala Lumpur yang menerima bantuan sebanyak RM400 seorang hari ini bagi membeli barang persediaan menyambut Aidilfitri.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, program itu melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun daripada kalangan yatim, yatim piatu atau yang ditinggalkan keluarga.

Katanya, program membeli-belah tersebut diadakan julung kalinya selain bantuan kewangan yang semememangnya disumbangkan pada setiap tahun bulan Ramadan sebelum ini.

“Seramai 35 kanak-kanak ini berpusat di Kuala Lumpur, manakala lagi 15 kanak-kanak bertempat di Subang Jaya kita juga akan bawa untuk beli-belah baju raya dan lain-lain keperluan diri.

“Saya lihat tadi betapa cahaya kegembiraan terpampang di wajah-wajah kanak-kanak ini. Mereka nampak bahagia dan seronok dapat beli baju raya, kasut raya, kuih raya dan lain-lain keperluan diri.

“Saya berharap bukan sahaja program sebegini dapat diteruskan pihak PUNB, malah dapat disambung olehh agensi-agensi lain yang berkemampuan untuk berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI