fbpx

PUNB agih pembiayaan perniagaan RM300 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izwan (lapan, kanan) bersama Acryl Sani (tengah) pada Program Kongsi Rezeki Ramadan di Pasar Raya Mydin, Subang Jaya, hari ini.

SUBANG JAYA – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) akan mengagihkan pembiayaan perniagaan berjumlah RM300 juta dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 450 syarikat, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata, daripada jumlah pembiayaan itu, sebanyak RM200 juta adalah peruntukan kerajaan, manakala RM100 juta lagi merupakan dana dalaman.

Ujarnya, setakat 31 Mac depan, sebanyak RM35 juta pembiayaan telah diluluskan dengan menumpukan syarikat-syarikat tertakluk kepada mandat iaitu industri peruncitan dan pemborongan.

“Tahun lepas kita salurkan pembiayaan berjumlah RM325 juta dimana RM300 juta daripadanya adalah peruntukan kerajaan termasuk RM100 juta dana Madani dan RM25 juta merupakan dana dalaman.

“Sebanyak 417 syarikat telah mendapat pembiayaan tahun lepas dan insya-Allah tahun ini kita akan teruskan lagi dengan peruntukan yang ada dengan sasaran sekurang-kurangnya 450 syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Program Kongsi Rezeki Ramadan di Pasar Raya Mydin, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai insiatif baharu, Izwan berkata, PUNB telah melaksanakan PROSPER IMPACT (Pembiayaan Islam untuk Projek dan Kontrak) bermula awal tahun ini.

Jelasnya, program tersebut dilaksanakan bagi membantu usahawan bumiputera yang mendapat kontrak daripada kerajaan, institusi berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat multinasional (MNC).

“Program ini akan membantu para usahawan dari segi aliran tunai mereka untuk menjalankan dan melaksanakan projek yang mereka dapat.

“Setakat ini program ini mendapat sambutan yang cukup baik kerana data kami menunjukkan ramai dah mula memohon. Mereka yang ingin memohon boleh lakukan secara dalam talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI