Kurang dua minggu lagi, penduduk Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sejak kelmarin memasuki 15 Ramadan 1445H lagu-lagu raya sudah mula berkumandang di corong radio sekali gus menaikkan semangat terutama bagi mereka yang akan pulang beraya di kampung halaman.
Kebiasaannya dua minggu terakhir ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai untuk mencari barangan kelengkapan raya termasuklah pakaian.
Ada orang yang suka membuat persiapan raya pada saat-saat akhir kerana katanya baru ada feel untuk menyambut lebaran.
Membeli-belah last minute ini kadang-kadang menguntungkan poket juga sebab ada peniaga yang menawarkan diskaun besar-besaran untuk menghabiskan stok mereka.
Dalam kesibukan kita membuat persiapan untuk menyambut hari raya puasa, pasti ada pihak lain yang sibuk merancang melakukan aktiviti jenayah penyeludupan.
Musim perayaan ini merupakan peluang terbaik bagi kumpulan penjenayah untuk menyeludup mercun, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan bersubsidi seperti diesel dan petrol.
Setiap kali tiba musim perayaan bisnes seludup PATI dan mercun antara yang mendapat permintaan.
Warga asing yang tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri akan menggunakan khidmat ejen haram ini untuk pulang menyambut raya bersama ahli keluarga di negara masing-masing.
Baru-baru ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mendedahkan ada PATI yang tinggal di negara ini sanggup mengeluarkan wang RM3,000 dibayar kepada ejen untuk pulang beraya di Indonesia sempena Aidilfitri ini.
Kegiatan itu terbongkar selepas pihak berkuasa tersebut menahan rakyat Indonesia ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Pulau Batam pada minggu lalu.
Pihak berkuasa menjangkakan aktiviti itu semakin rancak menjelang hari-hari terakhir Ramadan.
Pergerakan keluar PATI balik beraya di kampung halaman mereka bukan kali pertama berlaku, malah setiap kali menjelang musim raya terutama perayaan utama seperti Aidilfitri.
Jadi kumpulan penyeludup sama ada ejen, tekong dan transporter akan menggunakan peluang ini untuk mencari ‘duit raya’.
Namun, dalam keghairahan mencari duit ingatlah pihak berkuasa juga melaksanakan tugas mereka, jangan dek kerana mengejar wang ada yang terpaksa menyambut raya dalam lokap.
Silap haribulan jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.














