fbpx

Ustaz dipenjara lima bulan, denda RM8,000 buat hantaran jelik terhadap Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB MALIK (tengah) ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh Julai tahun lalu atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang Di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp. - Foto MUHAMAD NAZREEN SHAH MUSTHAFA

IPOH – Seorang ustaz dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp, dua tahun lalu.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Ab Malik Hussain, 63, menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding sebutan semula kes hari ini.

Tertuduh yang juga penceramah, berdepan hukuman tambahan iaitu penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 23 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp ‘soal jawab tasawuf-(sufi)’.

Hantaran itu telah dilihat pada pukul 8.30 malam di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di dalam daerah Perak Tengah pada 22 November 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin.

Pada 11 Julai lalu, Ab Malik yang merupakan penceramah di Kelantan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azizah bagi dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan Whatsapp. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI