fbpx

Konon bawa saudara mara, padahal angkut pelancong Thailand tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman (tiga dari kanan) memeriksa sebuah van Siam yang membawa pelancong Thailand secara haram semasa Ops Khas Van Putih JPJ di Stesen Penguat Kuasa JPJ Jeli, Jeli semalam. FOTO ROHANA ISMAIL/KOSMO!

JELI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya membongkarkan taktik pemandu van Thailand membawa masuk pelancong dari negara berkenaan tanpa lesen selepas menahan kenderaan tersebut dalam Ops Khas Van Putih JPJ di Jeli dan Rantau Panjang di sini semalam.

Dalam operasi yang bermula pukul 4 petang hingga 7 malam itu, JPJ berjaya menahan 15 buah van dengan nombor pendaftaran Thailand.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, hasil soal siasat mendapati, pemandu van berkenaan mengaku penumpang tersebut merupakan saudara-maranya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, setiap penumpang dikenakan bayaran RM70 untuk ke beberapa destinasi di negara ini termasuk Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

“Pada masa sama, pemandu van dikesan menyalahgunakan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dengan membawa pelancong menggunakan kenderaan milik persendirian.

“Kesemua pemandu van itu akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu menjalankan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Van Putih JPJ di Stesen Penguat Kuasa JPJ Jeli, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Lokman memberitahu, pembongkaran taktik itu hasil daripada maklumat risikan selama tiga hari yang dilakukan oleh JPJ di sekitar daerah Jeli dan Rantau Panjang selepas menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, operasi tersebut turut mendapat kerjasama dari Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam mengesan ulat pelancong.

“Tindakan ulat pelancong ini boleh menjejaskan industri pelancongan negara sekali gus menjejaskan pengusaha teksi dan pengangkutan awam di negara ini.

“Selain itu, JPJ turut menahan 15 kenderaan lain yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI