fbpx

K2

Bufet Ramadan gastronomi Melayu di De.Wan 1958 by Chef Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chef Nadzri yang merupakan anak kepada chef tersohor Malaysia, Chef Wan menunjukkan hidangan paha kambing bakar kegemaran ramai.– Foto Ammarullah Zianuzzaman

MASAKAN Melayu berakar umbi daripada tradisi silam dan terus berkembang mengikut perubahan cita rasa masyarakat di Malaysia.

Perkara tersebut diterjemahkan menerusi gabungan pelbagai bahan yang mempengaruhi tekstur, aroma dan estetika sesuatu juadah.

Ramadan ini, sambil berbuka puasa, orang ramai juga boleh menikmati keindahan gastronomi Melayu melalui tawaran bufet Ramadan di De.Wan 1958 by Chef Wan.

Sajian utama bufet tersebut adalah paha kambing bakar yang diperap bersama sambal hijau, sambal Portugis dan rempah ratus Chef Wan selama satu malam.

Perapan paha kambing tersebut seterusnya dibakar selama empat jam dengan api perlahan sekali gus menjadikan tekstur dagingnya lembut dan berjus apabila dimakan.

Makanan yang dihidangkan bersama aneka sambal colek pilihan itu boleh dinikmati sama ada bersama nasi atau dengan begitu sahaja.

Menurut sous cef eksekutif kumpulan, Chef Nadzri Redzuawan, hidangan paha kambing itu sememangnya dinanti-nantikan pelanggan De.Wan 1958 by Chef Wan pada setiap tahun.

“Kebiasaannya, kami menyediakan sehingga empat paha kambing buat pelanggan bufet di Bangi Resort Hotel dalam satu sesi bufet.

“Tetapi untuk cawangan Linc KL dan Bangsar Shopping Centre, kadang-kadang boleh sampai lapan paha kambing disediakan dalam sehari,” katanya.

Para pengunjung boleh merasai antara 100 hingga 200 hidangan yang ditawarkan bufet Ramadan di cawangan-cawangan De.Wan 1958 by Chef Wan.

Bagi pembuka selera, pelanggan boleh menikmati sajian desa seperti ulam-ulaman, kerabu jantung pisang dan rojak betik Terengganu.

Terdapat juga makanan wajib Aidilfitri seperti lemang buluh Pak Ujang, ketupat daun palas serta aneka sate bersama nasi impit dan sambal kacang.

Selain itu, kepelbagaian penambah rasa dari pelbagai negeri turut dihidangkan seperti tempoyak, budu dan cencaluk. Lebih unik, pelanggan juga dapat menikmati kuih daripada resipi istana Pahang iaitu puding diraja serta istana Kelantan iaitu tahi itik.

Tambah Nadzri, hidangan bufet merupakan peluang terbaik buat orang ramai untuk merasai masakan Melayu merentasi kelas sosial dan geografi.

“Chef Wan memiliki banyak pengalaman dalam bidang masakan dan telah mengumpulkan resipi dari semua 14 negeri di Malaysia.

“Beliau juga mempunyai pengalaman memasak dan belajar daripada tukang masak istana dari kesemua 14 negeri.

“Jadi, pengunjung boleh merasai sendiri standard masakan yang turut disantap oleh sultan-sultan,” katanya.

Bagi De.Wan 1958 by Chef Wan cawangan Bangi Resort Hotel, Bangi, Selangor, bufet bertemakan ‘Balik Kampung’ menawarkan 21 warung pilihan makanan.

Sementara, cawangan Linc KL dan Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur yang bertemakan ‘Juadah Desa’ pula menawarkan 28 warung pilihan makanan.

Tawaran bufet bermula dari 15 Mac sehingga 8 April 2024 setiap petang dari 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Harga bermula dari RM158 di Hotel Bangi Resort dan RM188 di The Linc KL dan Bangsar Shopping Centre. Untuk menempah, hubungi 03-78906016 atau email [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI