fbpx

PDRM terima bangunan baharu IPK, IPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang akhbar Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima beberapa bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di beberapa negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi bangunan IPK baharu, ia melibatkan Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Pahang di bawah peruntukan lama dan projek sambungan selain peruntukan baharu.

“Kita juga ada beberapa siri IPD baharu antaranya IPD Kapit dan IPD Padang Besar. Senarai ini ditentukan Bahagian Logistik Bukit Aman yang dibentangkan menerusi pelan strategik.

“Justeru, proses ini melibatkan dari negeri kepada daerah dan seterusnya turun ke balai polis, malah pos kawalan,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam masa sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga berjaya menyiapkan sebanyak 151 pos kawalan Polis Gerakan Am (PGA) di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM45 juta.

“Seterusnya, berjaya menyelesaikan pejabat dan tempat tinggal anggota Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan bajet RM40 juta serta penambahbaikan dan naik taraf kuarters yang berlangsung meriah di seluruh negara.

“Ia melibatkan peruntukan diumumkan Perdana Menteri sebelum ini iaitu sebanyak RM500 juta dikongsi bersama Kementerian Pertahanan (Mindef).

“KDN juga menerima peruntukan RM200 juta yang mana polis sahaja mendapat RM98 juta dengan proses ini masih berterusan dalam meningkatkan keadaan tempat kerja dan tempat tinggal lebih kondusif kepada anggota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI