MENGAMALKAN sesuatu amalan secara membuta tuli akhirnya mengundang binasa. Itulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan apa dilalui oleh Alina (bukan nama sebenar) dalam kehidupannya.
Berasal dari Sarawak, dia awalnya merupakan gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung di Kuching.
Namun begitu, sepanjang membesar, Alina sering dibandingkan dengan kakaknya yang jauh lebih cantik berbanding dirinya.
Tidak hanya mendengar dari mulut ibu bapa, Alina juga bagaikan hilang dalam kabus apabila bersama kakaknya ketika berada dalam keraian kampung.
“Orang akan kata, kakak cantik, putih, tetapi saya seolah tidak wujud. Malah, ibu dan ayah saya sering memuji kakak yang hanya tua setahun daripada saya.
“Hal ini membuatkan saya lebih suka menyendiri, namun jauh di sudut hati tidak dinafikan rasa cemburu amat tebal,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, api cemburunya semakin bertambah apabila lelaki yang disukai oleh Alina turut jatuh hati kepada kakaknya.
Mengakui tidak suka dengan keadaan itu, Alina lebih memilih untuk tidak banyak meluangkan masa dengan keluarga, sebaliknya tinggal bersama nenek yang menetap selang beberapa rumah.
Bersama nenek, Alina tidak berasa seperti dibezakan dan mendapat kasih sayang tanpa berbelah bahagi.
Pada suatu hari, ketika Alina sedang mengemas bilik neneknya, dia terjumpa sebuah buku lama yang tersimpan di atas almari.
Berasa curiga dengan buku itu, dia kemudian membukanya dan melihat ada tulisan seperti ayat pelindung, seri wajah, mata cantik dan sebagainya.
“Saya lihat seperti tulisan orang lama dan menganggap itu mungkin amalan orang dulu-dulu untuk menjadikan diri berseri dan menarik.
“Tanpa pengetahuan nenek, saya mengambil buku tersebut dan membawanya ke rumah untuk membaca lagi isinya,” ujarnya.
Katanya lagi, dia tertarik dan mula menghafal ayat-ayat amalan untuk nampak cantik dan menaikkan seri wajah.
Setiap hari, dia mengamalkan ayat itu seperti arahan dalam buku yang mengatakan ia perlu dibaca pada siraman terakhir ketika mandi.
Selang beberapa minggu, Alina mula merasai perubahan dari segi penerimaan orang di sekeliling dan ramai mula memuji dirinya.
Pada masa sama, dia berasa ada sesuatu yang aneh apabila sering rasa seperti diperhatikan oleh seseorang.
Malah, setiap kali dia dekat dengan anak-anak kecil, mereka akan menangis terutamanya bayi yang baru lahir.
Pada waktu malam pula, Alina sering bermimpi perkara pelik termasuk melihat ada susuk makhluk hitam yang memeluk dirinya sehingga membuatnya lemas.
Tidak tahan dengan mimpi yang berulang dan perasaan seperti diekori seseorang, Alina kemudian membawa semula buku tersebut ke rumah nenek dan bertanyakan tentangnya.
“Apabila nenek melihat buku tersebut, dia terkejut dan bertanya bagaimana saya menjumpainya.
“Nenek memberitahu bahawa buku itu merupakan satu kesilapan yang pernah dilakukannya sewaktu remaja dahulu,” kongsinya.
Neneknya mengatakan, ia adalah ilmu salah yang dituntut olehnya daripada moyang kerana ingin nampak cantik pada pandangan orang lain.
Namun, setiap ilmu mempunyai ‘khadam’ yang akan melekat pada pengamal dan menyesatkan serta memesongkan hati mereka.
Disebabkan Alina sudah terlanjur mengamalkannya, neneknya terpaksa membawa dia untuk berubat bagi melepaskan ‘khadam’ yang melekat pada dirinya.
Dalam proses berubat, Alina memberitahu, ia amat sakit, seolah-olah mencabut kulit pada daging kerana ‘khadam’ itu tidak mahu melepaskannya.
Namun, selepas beberapa bacaan ayat suci al-Quran, makhluk itu akhirnya pergi.
Sejak itu, Alina tidak lagi mengamalkan ilmu tersebut dan belajar menerima diri seadanya.
Malah, ibu dan ayahnya lebih memberi perhatian kepada Alina agar dia tidak merasa terasing dalam keluarga.














