fbpx
SUASANA berbuka puasa di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot di Kota Bharu kelmarin. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

‘Biarpun sumbangan perlahan, kami usaha anjur iftar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, di sini tetap menganjurkan program berbuka puasa meskipun dana sumbangan orang ramai menerusi Tabung Ihya Ramadan yang dilancarkan pihak masjid agak ‘perlahan’ ketika ini.

Imam Tua masjid itu, Osman Mat Zin, 53, berkata, peruntukan sebanyak RM105,000 diperlukan untuk menganjurkan program berbuka sepanjang Ramadan ini.

Katanya, pihak masjid ketika ini sedang menghebahkan penyertaan untuk menyumbang Tabung Ihya Ramadan kepada ahli kariah di Telipot agar jumlah tersebut mencukupi bagi menampung belanja berbuka puasa.

“Wang RM3,500 diperlukan setiap hari untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 250 hingga 300 jemaah yang terdiri daripada ahli kariah dan sesiapa sahaja yang datang mengimarahkan masjid.

“Dari segi juadah pula, kita sediakan buah tamar, kuih-muih, minuman dan nasi bungkus setiap hari untuk jemaah yang hadir. Semua juadah berbuka menggunakan sepenuhnya dana Tabung Ihya Ramadan iaitu sumbangan orang ramai dan tidak menggunakan dana masjid,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Jelas Osman, pihak masjid kebiasaannya akan membuat kiraan setiap tahun dan peruntukan sebanyak RM3,500 itu mencukupi.

Beliau bersyukur apabila ramai dalam kalangan jemaah di Mukim Telipot bermurah hati apabila banyak membantu pihak masjid menjayakan program ketika Ramadan.

“Jika dilihat pada skala besar, kami memerlukan dana sebanyak RM200,000 untuk menjalankan program pada Ramadan.

“Ia melibatkan program tadarus al-Quran selepas setiap waktu solat, majlis berbuka puasa, bayaran imam tarawih, bayaran penceramah tazkirah, moreh, program qiamullail dan bayaran bil elektrik yang mening­kat semasa Ramadan.

“Kita akan hantar seorang jemaah yang dilihat paling aktif dalam setiap program semasa Ramadan termasuk menunaikan solat tarawih untuk menunaikan umrah selepas Aidiladha nanti. Hadiah pakej umrah itu juga menggunakan dana Tabung Ihya Ramadan,” ujarnya.

Di Ipoh, situasinya agak berbeza di Masjid Sultan Idris Shah II apabila menerima peruntukan serta tajaan berbuka puasa, moreh dan sahur daripada kerajaan negeri dan syarikat-syarikat swasta bernilai kira-kira RM75,000 setakat ini.

Imam Utama Masjid Negeri, Mohd. Ridzuan Zaidin berkata, ia merupakan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu kira-kira RM70,000.

“Tahun ini nampak peningkatan nilai tajaan apabila terdapat beberapa buah syarikat lagi mungkin akan turut serta menaja menu berbuka puasa di sini.

“Antara menu yang popular dihidangkan termasuklah nasi beriani dan nasi arab, dengan ruang makan mencukupi sehingga 300 orang disediakan di pekarangan Masjid Negeri,” katanya.

Pihak pengurusan masjid berusaha pastikan jumlah makanan, minuman untuk jemaah mencukupi.

Mohd. Ridzuan berkata, orang ramai yang datang berbuka puasa di masjid tersebut tidak hanya datang berseorangan bahkan turut membawa ahli keluarga se­perti anak dan isteri.

Seorang pengunjung Masjid Negeri, Mohd. Asyraf Aslan, 36, berkata, dia yang tinggal di Parit Buntar mengambil peluang untuk berbuka puasa pada 1 Ramadan lalu di masjid tersebut bersama isterinya dan seorang anaknya.

Katanya, ia kerana masjid berkenaan sememangnya popular dalam kalangan warga Perak lebih-lebih lagi mereka yang biasa berbuka puasa di sana.

“Alhamdulillah, pada hari pertama masjid ini menyediakan nasi daging utara, kurma daging dan air asam. Cukup sedap, bahkan kami tidak bimbang kualiti serta kebersihan makanan disediakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Air Ku­ning, Nizamuddin Mokhtar, 62, berkata, kebiasaannya sekitar 40 orang sahaja yang berbuka puasa di masjid itu tahun lalu.

“Namun, tahun ini meningkat 100 peratus iaitu 80 orang, malah boleh mencecah 100 orang pada hujung minggu dan cuti umum.

“Namun, pihak masjid akan memastikan makanan dan minuman untuk mereka yang hadir ini sentiasa mencukupi,” katanya.

Pengerusi Masjid Al Hidayah, Batu Tiga Temoh, Tapah, Abdul Aziz Abd. Rahman, 60, berkata, terdapat peningkatan sebanyak 100 peratus mereka yang berbuka di masjid itu.

“Memang luar biasa, biasanya kira-kira 100 orang sahaja pada tahun lalu tetapi tahun ini me­ningkat 200 orang.

“Majoriti keluarga sudah ber­belanja besar untuk sekolah anak selain menyimpan bagi Aidilfitri jadi mereka berbuka di masjid untuk jimatkan wang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN