fbpx

Tangguh aktiviti luar bilik darjah ketika cuaca panas tahap 1 – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan agar semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di semua lokasi dengan status cuaca panas Tahap 1.

KKM dalam kenyataan berkata, sekiranya status cuaca bertukar kepada status Gelombang Haba tindakan selanjutnya boleh diambil oleh Kementerian Pelajaran sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016.

Ia turut melibatkan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 dikeluarkan oleh KKM dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023.

“Pendedahan kepada cuaca panas dengan berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Murid-murid sekolah adalah di antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan juga faktor kurang pengambilan air,” katanya hari ini.

KKM turut menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya.

“Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, ketika bersahur dan berbuka puasa hendaklah meminum air yang mencukupi. Awasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa,” ujarnya.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca- panas/ dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM http://www.myhealth.gov.my/cuaca- panas-a-kesihatan.

Menerusi status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam, Perlis mengalami Gelombang Haba (iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius) sejak 19 Mac lepas.

Manakala, sebahagian besar negeri Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling) dan sebahagian negeri Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta) mengalami cuaca panas Tahap 1 (iaitu suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius).

Pada masa yang sama, MetMalaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI