fbpx

Peniaga bazar cari pelanggan beli kerabu basi, mahu pulangkan duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerabu pucuk paku dan tauge yang dikongsikan Nurul Shahida di Facebooknya semalam.

PETALING JAYA – Seorang peniaga bazar Ramadan di Kamunting, Perak secara terbuka memohon maaf kepada semua pelanggannya yang membeli kerabu pucuk paku dan tauge di gerainya semalam, selepas mendapati masakan tersebut sudah basi.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook, Sharifah Nurul Shahida, dia memberitahu perkara tersebut mula disedari sewaktu suaminya makan kerabu terbabit ketika berbuka puasa.

“Allahuakbar, mohon kepada semua yang nampak hantaran ini tolong kak Sha (Shahida) kongsikan supaya hantaran ini sampai kepada pembeli kami.

“Sepenuh hati kak Sha mohon kemaafan kepada pelanggan yang datang di gerai Shazam Katering di bazar Ramadan Kamunting hari ini (semalam).

“Tolonglah datang balik ke gerai kami esok (hari ini) supaya kami dapat pulangkan duit tuan dan puan yang beli kerabu kami,” tulisnya dalam hantaran semalam.

Bercerita lanjut, Nurul Shahida berkata, dia tidak sangka kerabunya itu akan basi terlalu awal sedangkan setiap bahan digunakan adalah yang segar.

“Kerabu ini kami buat petang tadi (semalam) dalam pukul 3 petang. Tak sangka waktu berbuka dah tak elok, sedangkan kelapa parut yang kami guna pun kami beli waktu pagi bukan semalam (kelmarin) punya,” jelasnya.

Sehubungan itu, perkongsian peniaga tersebut turut mendapat pujian daripada orang ramai apabila rata-rata berterima kasih kepadanya kerana menjadi peniaga jujur dan sanggup membayar ganti rugi terhadap pelanggan yang terkesan.

“Inilah contoh peniaga yang berniaga bukan semata-mata untung tetapi penuh ikhlas. Semoga Allah berikan rezeki yang melimpah ruah buat kak Sha,” puji Ross Flower’s.

“Baiknya tauke ini, ikhlas sangat dalam berniaga. Moga Allah limpahkan rezeki di bulan mulia ini dan dipermudahkan urusan mencari pelanggan terbabit. Terima kasih kerana menjadi peniaga jujur,” kata Ismazuraidah Isa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI