fbpx

Na’imah gagal dapat pasport antarabangsa secara kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hari ini gagal dalam permohonan untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Na’imah selaku pemohon, bagi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta.

“Tindakan Hakim Mahkamah Sesyen sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku. Mahkamah sahkan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen dan menolak permohonan ini,” kata hakim itu.

Hakim Ahmad berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa raya bahawa tidak ada jaminan pemohon (Na’imah) tidak melarikan diri jika pasport tidak ditahan di mahkamah.

“Mahkamah berpendapat bahawa ‘flight risk’ (larikan diri) kemungkinan berlaku kerana Tun Daim sedang sakit dan mungkin perlukan perubatan di luar negara dan pasportnya tidak ditahan di mahkamah. Jika pasport pemohon ada bersamanya kemungkinan risiko untuk ‘fligh risk’ lebih tinggi yang mana pemohon ke luar negara dan tidak kembali.

“Sekiranya pemohon ingin ke luar negara untuk membawa suami (Daim) bagi tujuan perubatan, seperti pendakwa raya katakan, pemohon boleh membuat permohonan dan ia akan diuruskan dengan segara,” katanya.

Hakim itu berkata dalam kes-kes membabitkan personaliti antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah didakwa di mahkamah, mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu pasport di serahkan kepada mahkamah.

Sementara itu mengenai sama ada keputusan Mahkamah Sesyen telah melanggar hak Na’imah di bawah Perlembagaan Persekutuan, Hakim Ahmad berkata hak Na’imah sebagai warganegara berubah selepas beliau didakwa di mahkamah.

“Keadaan berubah daripada rakyat biasa kepada tertuduh. Hak muktlak pemohon terhadap pasportnya telah berubah,” katanya.

Pada 23 Januari, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI