DUA dekad lalu, negara pernah dikejutkan dengan kemunculan Kerajaan Langit pimpinan seorang individu yang dikenali sebagai Ayah Pin bertempat di Hulu Besut, Terengganu.
Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad menyifatkan dirinya sebagai wakil ‘Tuhan’ segala agama, manakala pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu berkenaan.
Selepas hampir 10 tahun bergiat aktif, akhirnya ajaran yang memesongkan orang ramai itu dihidu oleh pihak berkuasa dan agama tempatan dan pengikut-pengikut Ayah Pin pula ditahan dan disoal siasat serta didakwa di mahkamah.
Kawasan Kerajaan Langit juga telah dimusnahkan.
Ayah Pin pula telah menghilangkan diri ketika pihak berkuasa membuat serbuan. Kini ajaran sesat itu dikatakan cuba dihidupkan semula oleh bekas pengikutnya dan pihak berkuasa memantau perkembangan.
Selain ajaran Ayah Pin, banyak lagi ajaran menyimpang daripada akidah Islam ‘tumbuh’ di negara ini sama ada kita sedar atau tidak dan mudah mendapat pengikut dari semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional.
Persoalannya, mengapa begitu mudah orang ramai terjebak dalam ajaran yang menyeleweng itu dan taksub pula dengan pemimpinnya?
Golongan yang mudah percaya dengan ajaran guru ajaran sesat ramai sebenanarnya cuba berdampingan dengan agama selepas sekian lama hidup dalam kejahilan, namun berjumpa dengan guru yang salah, seterusnya membawa mereka ke jalan kesesatan.
Ada juga yang mahu mencari agama dengan jalan senang, mahu sesuatu yang ‘tidak diajar’ oleh pendakwah sebenar, menyebabkan mereka terjerumus dalam mengenali seorang ‘guru’ palsu yang menjanjikan syurga.
Ramai juga orang yang hairan bagaimana golongan profesional yang merupakan cerdik pandai dalam bidang masing-masing turut terpesona dan terpengaruh dengan ‘ustaz’ palsu yang memanipulasi pemikiran mereka daripada mengenali agama Islam yang sebenar.
Dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa tidak semua golongan profesional itu celik agama, mengenali asas dalam beragama. Sebab itu apabila bertemu seseorang ‘guru’ yang boleh menunjukkan jalan singkat ke syurga, mereka mudah terpesona dan mengikutinya tanpa usul periksa.
Untuk mencegah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat, kita perlu menerapkan ilmu asas Islam sejak kecil yang menjadi benteng antara kebenaran dan kebatilan.
Setiap kali munculnya ajaran baharu, maka ia perlu dirujuk kepada pihak berkuasa bagi mengetahui kesahihannya.
Selain itu, umat Islam perlu cakna dan peka dengan setiap fatwa negeri yang mewartakan ajaran didapati sesat serta menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jangan disebabkan ‘tergelincir’ dengan ajaran yang entah dari mana kebenarannya, kita akan menyesal di akhirat nanti. Jadi berhati-hatilah dalam setiap tindakan kita semasa hidup di dunia.














