fbpx
BEBERAPA penghuni Darul Fitrah mengisi masa terluang pada bulan Ramadan dengan membaca al-Quran.

‘Jihad’ saudara baharu jadi Muslim bertakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT azan maghrib berkumandang menandakan pertukaran 30 Syaaban ke 1 Ramadan, Hafiz Lai memasang azam baharu untuk cuba berpuasa buat pertama kali.

Biarpun sudah memeluk Islam sejak 2021, namun lelaki berusia 41 tahun itu mengalami kesukaran untuk mengamalkan gaya hidup seorang Muslim tanpa persekitaran yang betul.

Sebagai saudara baharu, Ramadan dan Syawal pada dua tahun lalu agak sunyi serta terpinggir kerana tidak memiliki keluarga beragama Islam.

Pada tahun ini, dia nekad menjadi pelajar asrama Darul Fitrah di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang terletak di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Menurut Hafiz, saat paling indah berpuasa bersama rakan-rakan mualaf lain adalah sewaktu berbuka.

“Sejujurnya, saya rasa penat, dahaga dan lapar di siang hari kerana tidak biasa berpuasa.

“Oleh itu, saat berbuka puasa sememangnya satu nikmat yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.

“Saya berharap dapat berpuasa penuh pada tahun ini walaupun dugaannya agak besar buat saya,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, Hafiz atau nama sebelumnya, Lai Kong Yee mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Negara pada Jun 2021.

Mengulas lanjut, Hafiz mengakui, bibit-bibit hidayah telah terbit sejak zaman persekolahan kerana dia berasa tenang setiap kali mendengar laungan azan.

Bahkan, ketika dia tersalah memilih haluan hidup sehingga dipenjarakan selama dua tahun, hatinya masih tersentuh ketika melihat banduan-banduan Muslim diajar ilmu agama.

Kemuncak hidayah hadir pada 2020 apabila Hafiz mengalami mimpi yang jelas memaparkan dirinya memasuki masjid dan melalui tempat wuduk sehingga ke kawasan solat lelaki.

Anehnya, dia tidak pernah memasuki masjid sebelum itu, namun mimpi tersebut membuatkan hatinya sangat tenang.

“Biarpun begitu, namun saya masih lagi berfikir selama setengah tahun sebelum betul-betul nekad memeluk Islam.

“Kehidupan saya selepas memeluk Islam agak mencabar kerana hubungan saya dengan keluarga menjadi renggang.

“Namun, saya tidak salahkan mereka. Saya berdoa kepada Allah SWT agar merapatkan kembali hubungan kami seperti dulu,” ujarnya.

HAFIZ mengimamkan beberapa rakan mualafnya.

Turut pertama kali berpuasa pada Ramadan kali ini ialah Muhammad Isa Balakrishnan yang baru sahaja mengucap dua kalimah syahadah di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Berbeza dengan Hafiz, berpuasa bukanlah sesuatu yang sukar buat Muhammad Isa kerana agama lamanya turut memiliki rutin berpuasa.

“Ketika saya menganut agama Hindu, kami juga berpuasa selama 48 hari. Bezanya dalam agama Hindu, penganutnya dibenarkan minum.

“Namun, saya akui masih membiasakan diri untuk melakukan perkara asas seperti solat dan membaca al-Quran.

“Saya sudah boleh hafal al-Fatihah setakat ini.

“Jadi, cabaran sebenar Ramadan pada saya adalah ketika tarawih,” jelasnya.

Tambah anak jati Kuala Lumpur itu, perjalanannya memeluk agama Islam bagaikan takdir yang telah disusun rapi oleh Allah SWT.

Hidupnya diuji dengan masalah kesihatan setelah mengalami kemalangan ketika berkhidmat sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta pada 1999.

Keadaannya semakin teruk apabila dia diserang angin ahmar seluruh badan pada 2022 yang dipercayai rentetan daripada kemalangan itu.

Biarpun berjaya pulih, namun badannya tidak mampu untuk berdiri dalam jangka masa panjang.

Perkara itu menyebabkan dia kehilangan punca pendapatan sehingga akhirnya menjadi gelandangan.

Mengimbau kembali fasa paling pedih dalam hidup, Muhammad Isa mendedahkan, dia pernah tidur di bawah jambatan dan menumpang bilik air di Hospital Kuala Lumpur.

Pada satu hari, ketika dirinya sedang mengambil bantuan di Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh, dia melihat seorang kenalannya memeluk Islam.

Ujar lelaki berusia 47 tahun itu, dia juga terbuka untuk menerima Islam setelah mendengar penerangan ustaz tentang hikmah di sebalik ujian yang sedang dilaluinya.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk memeluk agama Islam kerana saya suka cara ustaz santuni saya untuk memahami Islam.

“Islam sangat jelas bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan hanya kepada-Nya kita bergantung,” jelasnya.

Menurut data Perkim cawangan Datuk Keramat, secara purata, seramai 48 hingga 50 orang memeluk Islam di bawah cawangannya pada setiap tahun.

Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk rakyat tempatan atau warga asing.

Mualaf boleh memilih untuk tinggal di asrama yang disediakan untuk tempoh maksimum empat tahun, melainkan memiliki sebab-sebab kukuh untuk tinggal lebih lama.

Menurut pengerusi Perkim Datuk Keramat, Ustaz Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, pihaknya menyediakan kursus khas sempena bulan Ramadan bagi membantu mualaf menjalani Ramadan pertama mereka.

“Cabaran paling besar bagi kami adalah membantu saudara baharu menguatkan diri dengan falsafah berpuasa.

“Selain makan dan minum, mereka juga perlu diingatkan supaya tidak melakukan tabiat lama seperti berjudi dan bertengkar.

“Kemudian, kami juga perlu menaikkan motivasi mereka untuk melakukan tarawih terutama apabila mereka rasa malas akibat keletihan berpuasa.

“Semua ini satu proses yang panjang untuk mereka. Kita doakan supaya mereka dapat istiqamah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN