FENOMENA buku yang berfokus kepada tema ‘galau’ kini sering menjadi pilihan masyarakat untuk membaca atau menulis.
Istilah ‘buku galau’ merujuk buku atau penulisan kreatif dengan kalimat indah sebagai sajian karya.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, galau itu bermaksud kekacauan, kekalutan atau kekeliruan.
Minat terhadap bahasa yang ringkas serta pengamatan terhadap emosi pembaca melalui ungkapan indah dengan makna tersirat yang mendalam merupakan satu daripada faktor popularnya trend ‘buku galau’ pada masa ini sama ada dalam bentuk novel atau puisi.
Adakalanya ia turut ditulis dengan gaya bahasa Melayu klasik.
Pengkarya bebas yang kreatif dan aktif melalui media sosial dan platform dalam talian turut mempengaruhi minat masyarakat, khususnya golongan muda terhadap fenomena itu.
Contohnya, pempengaruh Iddin Ramli yang telah menerbitkan karya galau berunsur motivasi Hati ke Hati (2020), Berakhirnya Mendung Kelabu (2021) dan Noktah yang Memujuk (2022).
Selain itu, baru-baru ini, pelakon, penulis lagu dan penyanyi Daiyan Trisha, turut mengembangkan kariernya sebagai penulis apabila beliau menerbitkan sebuah buku puisi bertajuk Tulisan by Daiyan Trisha.
‘Buku galau’ yang berjaya meneroka emosi dan menunjukkan perhubungan rapat dengan pembaca telah memberikan pandangan tentang cara memahami serta mengurus perasaan dan pemikiran.
Ini secara tidak langsung telah membuktikan kekuatan bahasa dalam mempengaruhi psikologi manusia.

Ketua Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mazila Ghazali berkata, ungkapan positif umpama mutiara kata yang diterbitkan melalui ‘buku galau’ boleh dikatakan sebagai salah satu pendekatan kaunseling secara tidak langsung kerana ia merupakan psikopendidikan dalam bentuk bimbingan melalui penulisan yang berpotensi meningkatkan daya tahan emosi, fikiran dan tingkah laku pembaca.
Melalui pesan singkat yang cuba disampaikan dalam penulisan ‘buku galau’, pembaca diberikan dukungan emosional seakan-akan perasaan atau pengalaman pahit manis yang dilalui hidup mereka didengari dan difahami.
Kesan kognitif yang timbul daripadanya membuatkan pembaca dapat menyelami makna tersirat yang cuba disampaikan melalui ungkapan sehingga merasakan ia serupa dengan pengalaman hidup mereka sendiri dan berasa mereka tidak bersendirian.
Ini membantu dalam mengubah pemikiran dan perilaku pembaca untuk tidak hanya berfokus kepada sudut pandang negatif apabila berhadapan dengan suatu masalah atau kesulitan hidup, tetapi turut melihatnya dari perspektif yang lebih positif.
Menurutnya lagi, apabila seseorang individu berdepan kesukaran hidup dan tiada tempat bergantung untuk meluahkan perasaan, aktiviti membaca kata-kata positif mampu membantu memberikan ketenangan awal kepada individu tersebut, di mana secara psikologinya sedikit sebanyak memberikan gambaran positif pada emosi yang sedang dilalui.
Tambah beliau, aktiviti membaca boleh membebaskan fikiran manusia daripada terus memusatkan fokus kepada pemikiran negatif. Dengan itu, pembacaan boleh membantu seseorang mendapatkan idea, nasihat dan penyelesaian berguna bagi kegusaran yang dirasakan dalam mendepani kesukaran hidup.
Kebanyakan golongan muda sedang dalam fasa perkembangan emosi. Golongan muda sering mencari cara untuk merasakan diri mereka dipedulikan dan difahami, dan pembacaan ‘buku galau’ boleh memberikan pengalaman sedemikian.
Masyarakat, khususnya golongan muda dilihat lebih cendurung memilih ‘buku galau’ sebagai bahan bacaan kerana membuatkan mereka berasa terhubung dengan watak dan cerita yang digambarkan secara tersirat.
Ungkapan indah yang singkat tetapi penuh makna mampu merangsang pembaca untuk melakukan introspeksi diri dan menghindari segala sesuatu yang menjadi pemicu stres.
Penulisan dan penerbitan ‘buku galau’ bukan sahaja mencerminkan perasaan dan kecenderungan minat masyarakat pada masa ini, tetapi turut memberikan gambaran tentang perubahan budaya sastera dari semasa ke semasa.
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Dr. Sharil Nizam Sha’ri berkata, ungkapan dalam ‘buku galau’ yang mudah difahami, berbentuk ayat aktif bertenaga dalam menyeru atau mempengaruhi pemikiran dan tindakan pembaca menjadi tarikan kepada semua.
Ini mengetengahkan pengenalan semula bahasa Melayu klasik yang perlu dilestarikan, khususnya dalam penulisan kreatif sebagai bahasa unik yang mencerminkan kekayaan budaya dan kesusasteraan Melayu.
Sebagai bahasa yang mempunyai daya tarikan tersendiri dengan gaya bahasa yang indah, penggunaan bahasa Melayu klasik dapat meronai sesebuah karya penulisan.
Memelihara dan memulihara bahasa Melayu klasik membantu kita untuk memastikan warisan budaya dan intelek bangsa Melayu terus hidup dan relevan dalam konteks dunia moden.
Bagaimanapun, penting untuk memahami bahawa bahasa Melayu klasik berkemungkinan besar sukar untuk difahami oleh pembaca yang jiwanya sudah sebati dengan penggunaan bahasa moden pada zaman globalisasi ini.
Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu klasik perlu disesuaikan dengan khalayak pembaca dan konteks penulisan. Ini akan melibatkan penggunaannya secara bijaksana dan seimbang untuk mencapai kesan yang diinginkan dalam penulisan kreatif tanpa menjejaskan kefahaman pembaca.














