fbpx

3,451 individu sertai program cegah HIV sejak Januari 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 3,451 individu menyertai program pencegahan HIV, Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak projek perintis itu bermula Januari tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek itu dilaksanakan di 21 klinik kesihatan bagi mencegah sehingga 99 peratus penularan HIV secara seksual.

Menurut Dr. Dzulkefly, berdasarkan analisis awal, sehingga bulan keenam dan ke-12 penggunaan PrEP, terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit Syphilis iaitu daripada 11 peratus kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

“Peratus klien yang sentiasa menggunakan kondom meningkat daripada 30 peratus kepada 38.6 peratus selepas enam bulan dan 44 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

“Peratus klien yang mempunyai hanya satu pasangan seksual (monogamous) juga meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas enam bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mengenai status terkini program PrEP kepada individu yang mempunyai pasangan HIV positif, terutama yang mengamalkan seks bebas dan seks songsang.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, terdapat 51 klien berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.

“Terdapat tiga kes positif HIV atau 0.09 peratus kerana pengguna tidak patuh kepada pengambilan PrEP. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal,” ujarnga.

Menurutnya, hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten.

Dalam pada itu, beliau berkata program PrEP dijangka diperluas kepada 10 lagi klinik pada tahun ini menjadikan keseluruhan 31 klinik di 14 negeri.

Dr. Dzulkefly berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 23 dan 24
Julai 2023 telah mengeluarkan fatwa hukum harus bagi pengamal perubatan memberikan PrEP untuk mencegah penularan HIV.

“Bagaimanapun, individu yang mengambil PrEP untuk menggalakkan dirinya melakukan seks bebas atau songsang adalah haram,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI