PETALING JAYA – Keterujaan orang ramai untuk balik ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri menyaksikan jualan tiket bas ekspres
laku bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila 90 peratus ataupun 475,200 tiket habis terjual setakat semalam.
Jumlah tersebut adalah daripada 528,000 tiket bas ekspres yang disediakan oleh Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung
Malaysia (Pembawa) untuk perjalanan dari Lembah Klang ke semua destinasi di seluruh Semenanjung.
Setiausaha Agung Pembawa, Wan Mohd. Iskandar berkata, baki tiket untuk perjalanan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri setakat ini hanya tinggal 10 peratus atau kira-kira 52,800 dengan jumlah bas yang disediakan adalah 1,000 buah melibatkan 25 syarikat bas bumiputera.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan tiket bas ekspres yang disediakan oleh pihaknya pada tahun ini bagi perjalanan pergi dan balik di seluruh Semenanjung adalah kira-kira 1,056 juta.
“Kesemua tiket yang terjual itu adalah bagi perjalanan bermula 4 April sehingga 15 April depan melibatkan perjalanan dua hala iaitu dari Lembah Klang ke negeri-negeri di Utara, Selatan atau Pantai Timur.
“Kami menyediakan lebih sejuta tiket bagi perantau dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung halaman dan balik semula ke Lembah Klang.
“Berdasarkan data semasa, jualan tiket memang memberangsangkan apabila hampir 90 peratus atau 475,200 tiket bagi perjalanan balik beraya sudah terjual,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, bagi perjalanan pulang semula ke ibu kota, kira-kira 70 peratus atau 369,600 tiket telah habis terjual.
Wan Mohd. Iskandar yang juga Pengarah Urusan Sani Ekspres berkata, daripada jumlah tersebut, laluan ke Pantai Timur paling mendapat sambutan apabila lebih 40 peratus tiket yang disediakan adalah bagi perjalanan ke destinasi berkenaan.
“Laluan ini setiap tahun mendapat permintaan tinggi dan tiket memang cepat habis terutamanya bagi laluan dari Kuala Lumpur (KL) ke Kota Bharu (KB) dan KB ke KL (selepas raya).
“Bagaimanapun, laluan ke Utara dan Selatan juga turut mendapat sambutan pada musim perayaan kali ini,” ujarnya.
Tambah Wan Mohd. Iskandar, meskipun terdapat kenaikan harga tiket sempena musim perayaan, namun ia tidak menjejaskan permintaan orang ramai untuk menggunakan khidmat bas ekspres untuk pulang beraya ke kampung.
Katanya, ia kerana pelaksanaan tambahan harga 10 peratus itu telah lama dikuatkuasakan dan kebanyakan pelanggan tahu tentang keadaan itu.
“Permintaan masih sama kerana tambahan harga ini sudah lama dilaksanakan dan ia hanya sempena musim perayaan.
“Sebagai contoh, harga terkini bagi perjalanan dari KL ke Pantai Timur adalah sekitar RM48, ke Utara RM55 dan Selatan RM35,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak kira-kira 1,000 buah bas akan beroperasi sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini iaitu melibatkan sekitar 25 syarikat bas bumiputera.
“Pihak Pembawa juga akan menyediakan bas tambahan dan tiket tambahan sekiranya mendapat permintaan daripada orang ramai.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada kemampuan kita menyediakan bas dan pemandu,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 295,608 tiket sempena Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, tiket balik kampung itu sudah mula dijual sejak Oktober tahun lalu merangkumi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity (Antarabandar).
“Bagi ETS, sebanyak 119,880 tiket disediakan, manakala KTM Intercity (175,728 tiket).
“Orang ramai sudah boleh membuat perancangan awal bagi pembelian tiket perjalanan terutamanya pada musim perayaan untuk mengelakkan kehabisan tiket.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, tiket pada tarikh-tarikh sebelum dan selepas sambutan perayaan sangat laris,” katanya.














