fbpx

Putin menang besar, beri amaran Perang Dunia Ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan tentera Russia menguji peluru berpandu balistik yang mampu membawa peledak nuklear. - Foto AFP/Kementerian Pertahanan Russia

MOSCOW – Presiden Vladimir Putin memberi amaran berlakunya Perang Dunia Ketiga selepas memenangi pilihan raya Russia susulan pindaan perlembagaan yang tidak lagi menghalang beliau bertanding untuk berbilang penggal, lapor akhbar The Sun semalam.

Putin, 71, yang mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini, akan menjadi Presiden Russia sehingga sekurang-kurangnya tahun 2030.

Keputusan rasmi pengiraan undi awal menunjukkan Putin mendapat 87.97 peratus undi selepas membunuh atau mengusir kebanyakan pencabarnya sebelum pilihan raya Presiden berlangsung.

Dalam ucapan kemenangan beliau hanya beberapa jam selepas pusat mengundi ditutup, Putin menyatakan terima kasih kepada rakyat Russia atas kepercayaan dan sokongan mereka.

Namun, dalam ucapan sama, beliau memberi amaran bahawa Perang Dunia Ketiga akan berlaku sekiranya tentera Barat memasuki Ukraine. Russia menceroboh negara jirannya itu sejak lebih dua tahun lalu.

Putin juga berikrar akan mengalahkan musuh-musuh Russia di hadapan kumpulan penyokongnya di Moscow.

“Kita semua adalah sebuah pasukan. Tiada siapa boleh menindas kita, mereka (Barat) tidak akan berjaya.

“Kita sebagai sebuah keluarga yang bersatu, boleh mengalahkan mereka,” katanya.

Lebih 114 juta penduduk layak mengundi, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat berkata, sebanyak 73 peratus pengundi yang layak keluar membuang undi dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, di rantau Donetsk yang dikuasai Russia di Ukraine, Putin menang 95.23 peratus undi dan memperoleh 95 peratus undi di wilayah Luhansk.

Moscow melancarkan serangan ke atas Kiev pada 24 Februari 2022.

Perlembagaan Russia sebelum dipinda menyatakan bahawa Presiden hanya boleh berkhidmat tidak lebih daripada dua penggal berturut-turut.

Namun pada 2020, Putin mengatur pindaan yang mengecualikan dirinya dengan memegang jawatan itu lebih daripada dua penggal.

Pada pilihan raya kali ini, pusat-pusat mengundi dibuka selama tiga hari dan bukannya sehari dengan pengundian secara online menjadi pilihan di 27 wilayah di Russia dan Semenanjung Crimea yang dirampas oleh Putin sedekad lalu.

Dalam satu temu bual dengan media kerajaan, Putin berkata, Moscow bersedia untuk menggunakan senjata nuklear jika terdapat ancaman terhadap kewujudan negara Russia.

Putin berkata bahawa dari sudut ketenteraan dan teknikal, Russia bersedia untuk perang nuklear walaupun beliau tidak menyatakan bila ia akan berlaku.

Katanya, Amerika Syarikat juga sedang membangunkan senjata nuklear tetapi ia tidak bermakna Washington bersedia untuk melancarkan perang nuklear keesokan harinya.

“Senjata (nuklear) wujud untuk digunakan.Kami mempunyai prinsip kami sendiri,” katanya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI