BESUT – Seramai 124 ahli keluarga Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohammed dipercayai bertindak asingkan diri di dalam penempatan mereka di Kampung Batu 13, Hulu Dungun di sini sejak tiga hari lalu.
Keadaan itu ekoran pendedahan dakwaan gerakan menghidupkan semula ajaran sesat tersebut pada Jumaat lalu.
Tinjauan mendapati pintu pagar penempatan kira-kira 40 keluarga Ayah Pin yang dahulunya merupakan markas ajaran Ayah Pin sentiasa ditutup bagi mengelak orang luar masuk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 13, Ab. Ghani Mamat mengakui hubungan lebih 300 penduduk perkampungan itu dengan ahli keluarga Ayah Pin agak renggang sejak pengumuman Pejabat Agama Islam Besut berkenaan.
“Sebelum ini kehidupan waris Ayah Pin agak menyendiri, mereka tetap bergaul dengan masyarakat setempat dengan menghadiri majlis kenduri dan keramaian apabila dijemput.
“Walaupun kurang nampak di masjid dan surau tetapi mereka bayar zakat fitrah dan mengerjakan ibadah korban,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 13, Hulu Dungun di sini semalam.
Ab. Ghani berkata, hubungan generasi muda waris Ayah Pin dengan penduduk kampung juga baik dengan beriadah seperti bermain sepak takraw bersama-sama.
Tambah beliau, kali terakhir dilihat tiga lelaki waris Ayah Pin mengerjakan solat Jumaat di Masjid Bukit Payong, Hulu Dungun pada empat hari lalu.
“Sukar saya untuk sahkan kewujudan gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin kerana secara zahirnya tiada (aktiviti mencurigakan).
Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan risikan mendapati tahap ancaman dan penularan ajaran Ayah Pin di Pahang yang dikatakan cuba dihidupkan kembali masih rendah.
Ujarnya, pihak polis melakukan pemantauan terhadap anasir ajaran Ayah Pin termasuk oleh bekas pengikut dan keluarga Ayah Pin yang berada di Rompin dan Pekan.
Kosmo! kelmarin ada dakwaan percubaan menghidupkan ajaran sesat ‘Ayah Pin’ di Hulu Besut hingga Jertih turut telah menular ke Pahang.














