fbpx

Ajaran Ayah Pin menular hingga ke Pekan, Rompin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kampung Batu 13, Hulu Besut yang merupakan lokasi asal penyebaran ajaran Ayah Pin.

BESUT – Ajaran Ayah Pin yang didakwa mahu dihidupkan semula pengikut-pengikut setianya dikatakan bukan sahaja kembali mengukuh di kawasan asalnya, Kampung Batu 13, Hulu Besut malah dipercayai mula menular ke kawasan-kawasan lain termasuk Pahang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, risikan pihak berkuasa mendapati ajaran sesat tersebut telah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.

“Ajaran Ayah Pin yang mahu dihidupkan semula oleh pengikut-pengikut setianya ini dipercayai telah merebak ke pekan Jertih berhampiran malah Pekan dan Rompin, Pahang.

“Gerakan menghidupkan semula ‘Kerajaan Langit’ tersebut dipandang serius oleh kerajaan negeri Terengganu,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Riduan berkata, ajaran sesat itu cuba dihidupkan semula walaupun Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 April 2016.

Jelas beliau, pengikut-pengikutnya dikatakan masih percaya Ayah Pin yang telah meninggal dunia pada usia 74 tahun berkenaan kononnya masih wujud.

“Tindakan tegas akan diambil bagi mengekang ajaran sesat ini. Kerajaan negeri Terengganu tidak akan berkompromi. Usaha, membendung ajaran sesat Ayah Pin ini sama pernah dilakukan kerajaan negeri Selangor terhadap ajaran Qadiani,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) telah bekerjasama dengan polis untuk memantau penularan semula ajaran yang telah difatwakan sesat dan haram pada tahun 1997 itu.

“Ajaran ini berbahaya kerana pengikut Ayah Pin pernah mengistiharkan murtad semata-mata mahu mengelak dikenakan tindakan perundangan oleh Mahkamah Syariah Besut pada tahun 2005.

“Ia perlu dibendung segera kerana berdasarkan sejarah, ajaran ini mudah mempengaruhi ramai pihak dan mendapat dukungan pihak luar kononnya atas dasar hak asasi manusia,” katanya.

Tambahnya, pengumuman Pejabat Agama Islam Daerah Besut berhubung ancaman gerakan Ayah Pin ini di masjid-masjid daerah ini pada Jumaat lalu signal jelas kepada masyarakat agar lebih berhati-hati.

Kosmo! hari ini melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pendedahan itu dibuat Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat yang merupakan Imam Masjid Gong Pasir, Besut dalam akaun Facebooknya pada Jumaat lalu.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI