fbpx
ANTARA replika gergasi seperti teko dan pasu yang terdapat di markas Kerajaan Langit yang diasaskan Ayah Pin (gambar kecil) di Besut.

Ajaran Ayah Pin muncul kembali di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan Kerajaan Langit didakwa kembali aktif dengan wujud gerakan daripada pihak-pihak tertentu untuk menghidupkan semula kumpulan agama sesat itu.

Perkara itu didedahkan seorang imam masjid di Kampung Gong Pasir, Besut dikenali Tengku Azlan Raja Mamat menerusi satu perkongsian di Facebook miliknya yang menggunakan nama Imam Muda Kulan kelmarin.

Berdasarkan perkongsian itu, Tengku Azlan mendakwa ajaran Ayah Pin yang telah diwartakan sesat pada tahun 1997 itu cuba dihidupkan semula.

“Ajaran Ayah Pin yang diwartakan sesat oleh kerajaan Terengganu pada 1997, kini didapati ada gerakan untuk dikembangkan ­semula di daerah Besut,” tulisnya di Facebook.

Hantaran Tengku Azlan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang mula bimbang dengan penularan semula ajaran Ayah Pin 2.0 kerana didakwa boleh mempengaruhi akidah umat Islam.

Susulan itu, ramai mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan pantas dan tegas untuk mengekang ajaran sesat tersebut daripada dihidupkan semula.

Difahamkan, gerakan baharu bagi menghidupkan semula ajaran Ayah Pin dipercayai diusahakan oleh saki baki pengikutnya yang masih setia.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Riduan Mohd. Nor berkata, gerakan untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin kini dalam pemantauan pihak berkuasa dan tindakan bakal diambil dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pewartaan tentang amaran penyebaran ajaran sesat itu juga telah dimaklumkan di semua masjid di Besut kelmarin.

“Tindakan lain akan menyusul,” katanya ringkas.

Sebelum ini, ajaran Ayah Pin telah difatwakan sesat di bawah Seksyen 25 Enakmen Pentad­biran Hal Ehwal Agama Islam 1986 oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun 1997.

Pada April 2005, Pejabat ­Ta­nah­ Daerah Besut telah mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.

Pemimpin ajaran sesat Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad disahkan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada 21 April 2016 ketika usia 74 tahun akibat sakit tua.

Sepanjang kewujudan ajaran itu, penganut-penganut Kerajaan Langit percaya bahawa satu hari nanti, Ayah Pin akan kembali sebagai Imam Mahdi.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN