fbpx

Jakim beri amaran keras kepada KK Mart

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar stoking yang dimuat naik Firdaus Wong menerusi Facebook beliau sebelum ini sehingga tular di media sosial.

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia melibatkan sensitiviti keagamaan dan boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Semalam, Jakim telah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. KK Chai dan telah memberi amaran keras supaya perkara ini tidak berulang lagi.

“Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula Prosedur Operasi Standard syarikat.

Dalam pada itu, Hakimah berkata,  Jakim turut memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

“Ia bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

“Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, pada 14 Mac lalu tular di media sosial memaparkan stoking yang tertera kalimah Allah dijual di sebuah kedai serbaneka.

Susulan itu, KK Chai telah melahirkan rasa kesal atas penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah sebuah cawangannya selain tampil memohon maaf atas kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI